KUALA TERENGGANU - Irfan Bakti Abu Salim memilih Kedah sebagai juara Piala Malaysia musim ini walaupun Johor Darul Ta`zim (JDT) juga berpeluang untuk menjulang trofi berprestij itu dalam aksi final, Sabtu ini.
Jurulatih Terengganu itu membuat penilaian berdasarkan kekuatan jentera tengah skuad Helang Merah yang diketuai dua tonggak import, Liridon Krasniqi serta Sandro Da Silva.
"Liridon adalah pemain yang bijak dan mampu bertindak baik di bahagian tengah, terutama ketika menyerang dan bertahan, begitu juga dengan pemain dari Brazil itu (Sandro).
"Selain itu, pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar juga adalah pemain yang bagus dan mampu menjaringkan gol jika tidak diawasi pertahanan lawan," katanya.
Tegas pengendali berpengalaman ini, pemain muda skuad Kedah juga harus diberi perhatian kerana keupayaan mereka mengawal permainan dan begitu bersemangat mahu merekod sejarah menjulang trofi.
"Oleh itu, jika dua pemain import itu berada pada tahap prestasi terbaik selain faktor Baddrol, skuad Kedah mampu membawa pulang trofi berprestij itu," kata Irfan Bakti.
Bagaimanapun beliau memberikan syarat skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha itu perlu mencari jaringan pada babak pertama perlawanan dan perlu pertahankan jaringan itu.
"Jika itu berlaku, Kedah bakal muncul juara, tetapi ini bukan bermakna skuad JDT tidak bagus, skuad itu juga berpeluang cerah untuk muncul juara.
"Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti selain berjaya muncul juara Liga Super," katanya.
Sumber: BH Online