Jurutera Muda Dari Kedah Cipta Alat Tanam Pokok Cili Diiktiraf


ALOR SETAR - Kreativiti tiga murid Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara, Changlun mencipta alat penanam pokok cili diiktiraf apabila memenangi Anugerah Pingat Emas dan Anugerah Khas Pertandingan Pencipta Muda dan Inovasi Kedah 2017.

Bukan itu sahaja, lebih manis lagi, inovasi kek berasaskan bunga ros direka murid sekolah itu turut menerima hadiah saguhati pada pertandingan sama yang berlangsung di Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Selasa lalu.

Menurut guru besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, idea menghasilkan alat dinamakan Bazooka Plant itu tercetus atas dasar keprihatinan tiga murid tersebut terhadap kesukaran pekebun cili untuk menanam banyak anak pokok dalam masa singkat.

Oleh itu, Bazooka Plant direka daripada hasil kreatitivi Nur Adlia Sufi Mohd Adan, 12, Muhammad Afiq Farhan Ahmad Tarmizi, 12 tahun dan Aifah Zahirah Anuar, 11 tahun yang memudahkan petani menanam banyak anak pokok cili dalam masa singkat.

Tambah beliau, kumpulan yang diketuai Nor Adlia Sufi mula mereka alat itu pada Jun lalu dan mendapat kerjasama serta bimbingan pensyarah Dr Azlan Taib daripada Universiti Utara Malaysia dan Dr Edry Tan daripada Universiti Malaysia Perlis.

"Jika dahulu, 100 anak pokok cili sahaja dapat ditanam secara manual sehari oleh petani tetapi dengan Bazooka Plant, lebih 600 anak pokok dapat ditanam tanpa penggunaan tenaga yang ramai.

"Alat ini boleh diguna untuk mengorek lubang dan menyemai benih anak pokok pada masa sama," katanya ditemui di sekolahnya di Changlun, semalam.

Ujarnya, pihak sekolah sedang menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Changlun bagi mengkomersialkan alat berkenaan.

"Alat ini dijual RM180 seunit dan setakat ini kami menerima tempahan 18 unit Bazooka Plant daripada petani," katanya yang dipetik MyMetro. -Kedahnews.com