KUALA LUMPUR - Sebanyak 1.1 peratus individu diisytihar muflis antara 2014 hingga 2016, adalah mereka yang berusia bawah 30 tahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, berkata punca utama kemuflisan itu disebabkan hutang kad kredit akibat penggunaan melebihi kemampuan.
"Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sembilan individu di bawah usia 30 tahun diisytihar muflis berbanding 3.7 juta pemegang kad kredit.
"Pada 2014, seramai 12 individu bawah 30 tahun diisytihar muflis bagi tempoh sama, 17 orang (2015) dan 22 orang (2016).
"Bagaimanapun, ketika ini, majoriti mereka yang diisytihar muflis kerana kad kredit adalah yang berusia atas 30 tahun," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) mengenai jumlah kes kebankrapan dalam kalangan generasi muda disebabkan penggunaan kad kredit serta langkah kerajaan bagi membendungnya.
Othman berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan beberapa langkah bagi mengawal jumlah itu, antaranya memperketat syarat pengeluaran kad kredit seperti menaikkan syarat pendapatan minimum daripada RM18,000 setahun kepada RM24,000 setahun.
Selain itu, katanya, pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 setahun ke bawah hanya boleh memegang dua kad kredit daripada dua pengeluar berbeza, selain had maksimum kredit ditetapkan tidak melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan.
Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai jumlah hutang isi rumah di negara ini yang dikatakan tertinggi di Asia, Othman berkata ia menunjukkan aliran penurunan dalam tempoh tiga tahun terakhir.
"Pada 2015, hutang isi rumah adalah 89 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kemudian menurun pada 88.3 peratus pada 2016 dan 85.6 peratus setakat suku ketiga tahun ini," katanya.
Sumber: BH Online