Kanak-Kanak Hidap Kanser Dari Sungai Petani Terima Lawatan Pengarah JPJ Kedah


ALOR SETAR - Dalam kesibukan bertugas tidak menghalang kakitangan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menziarahi Muhammad Adam Rayyan Muhamad Nasir, 4, yang menderita kanser neuroblastoma tahap empat sejak dua tahun lalu di rumahnya di Taman Seraya Emas, Sungai Petani, pada Isnin.

Lawatan tersebut disertai Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif bersama beberapa pegawainya, tambahan pula kanak-kanak malang itu adalah anak Pembantu Penguat Kuasa JPJ Muhamad Nasir Ishak yang bertugas di JPJ Sungai Petani.

Kata Isma Suhaimi, lawatan Program Ziarah JPJ Kedah itu adalah bertujuan untuk melihat perkembangan Muhammad Adam Rayyan.

Tambah beliau, setakat ini keluarga Muhammad Adam Rayyan tidak menggalakkan kunjungan pelawat selain reda dengan ujian Allah SWT selepas anak mereka disahkan menghidap penyakit tersebut.

"Tujuan kami mengunjunginya hanyalah untuk memberi semangat dan menggembirakannya kerana sebelum ini dia banyak menghabiskan waktu di rumah.

"Kami juga pernah menunaikan hasrat Muhammad Adam Rayyan untuk ke Legoland Malaysia dengan mengatur perjalanan untuknya bersama dua pegawai kami dengan kerjasama JPJ Johor.

"Dia diberi penginapan dan tiket percuma untuk masuk ke taman tema itu selama dua hari iaitu pada 25 hingga 27 Ogos lalu dan dia amat gembira sehinggakan `lupa' sementara pada penyakitnya itu," katanya ketika dihubungi MyMetro semalam.


Menurut Isma Suhaimi, Muhammad Adam Rayyan sebelum ini telah menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selain kimoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi merawat penyakitnya itu.

Malah, beliau turut dimaklumkan kanser itu sudah merebak ke bahagian kepala Muhammad Adam Rayyan, namun berharap kanak-kanak itu selamat dan mampu melawan penyakitnya.

"Apa yang saya tahu, sebelum ini dia tidak boleh pejam mata tetapi sekarang sudah boleh. Ini membuktikan dia berjaya melawan penyakitnya itu.

"Sejak akhir-akhir ini berat badannya agak susut dan matanya masih tersembol. Kami sentiasa berdoa supaya keadaan Adam kembali seperti sedia kala," ujarnya yang turut menghadiahkan jersi hijau kuning pada Adam.

Pada masa sama, Isma Suhaimi berkata, pihaknya turut memberi sumbangan wang dan barangan makanan untuk meringankan penderitaan yang ditanggung keluarga kanak-kanak itu selain dapat menggembirakan hatinya. - Kedahnews.com