Kanak-Kanak Sembilan Tahun Ditemui Lemas Di Kepala Batas


ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mati lemas selepas terjatuh di tambatan yang dilimpahi air sungai berhampiran Taman Tabung Haji, Kepala Batas, dekat sini, semalam.

Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Pegawa Bomba Kanan II, Mohamad Shukri Zulkapri berkata mayat Muhammad Haziq Amsyar Shahril ditemukan di dasar tambatan berkenaan pada jam 5.45 petang, kira-kira 15 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.03 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian dan sebaik tiba di lokasi, anggota bomba telah menjalankan pencarian dengan menggunakan kaedah ‘grapping iron’ (mencari menggunakan besi),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kawasan tambatan itu dilimpahi air sungai berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat, katanya. – BERNAMA