ALOR SETAR - Barisan pemain Lang Merah ternyata kecewa dengan nasib malang yang menimpa pasukan mereka setelah peluang untuk beraksi dalam Piala AFC diserahkan kepada pasukan lain.
Kedah sepatutnya bersaing dalam Piala AFC tahun depan atas tiket berjaya menjadi juara Piala FA.
Namun peluang itu dinafikan dan diberikan kepada pasukan Pahang dimana pasukan itu tewas di tangan mereka dalam perlawanan akhir Mei lalu.
Difahamkan Kedah gagal untuk melayakkan diri untuk beraksi Piala AFC kerana Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal mendapatkan lesen Piala AFC.
Kegagalan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menghantar penyata kewangan yang siap diaudit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh badan induk tersebut telah menjadi punca Kedah tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam kejohanan itu.
Kapten Lang Merah, Khairul Helmi Johari berkata, walaupun dirinya dan para pemain kesal dengan apa yang berlaku namun mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka sambil mengharapkan kejadian ini dapat dijadikan pengajaran.
“Perasaan ralat itu memang ada sebab kita sudah ada peluang untuk bermain dalam Piala AFC, tambahan pula musim depan Kedah bakal menampilkan ramai pemain muda dan mereka boleh menimba pengalaman seandainya bermain dalam kejohanan tersebut tetapi perkara sebaliknya pula berlaku,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap Mohd. Syazwan Zainon tanpa berselindung memberitahu dia berasa terkilan dan kecewa dengan perkara yang menimpa pasukannya sehingga menyebabkan dia terlepas peluang untuk bermain di peringkat lebih tinggi.
Syazwan yang lebih dikenali Wan Karpet, berkata Piala AFC merupakan peluang terbaiknya untuk beraksi dalam pertandingan kelab lebih tinggi buat kali pertama namun disebabkan masalah tertentu dia terpaksa melupakan hasratnya.
Bagaimanapun Syazwan enggan mengulas lanjut mengenai kegagalan KFA mendapatkan lesen tersebut.
“Saya tidak menafikan perasaan terkilan dan kecewa itu sudah pasti ada pada setiap pemain kerana kami tidak dapat beraksi dalam kejohanan tersebut. Jika tidak saya bakal membuat penampilan pertama dalam Piala AFC.
“Bagaimanapun, saya tidak salahkan mana-mana individu. Memang sudah menjadi sasaran kami untuk bermain dalam Piala AFC pada musim depan tetapi perkara sebaliknya pula berlaku,” katanya.
Tambah pemain berusia 28 tahun itu, walaupun usaha mereka untuk melayakkan diri ke Piala AFC secara merit hancur dalam sekelip mata tetapi dia dan rakan sepasukan akan berusaha sebaik mungkin lagi musim depan untuk menempah tiket ke kejohanan tersebut.
“Saya bermain bola sepak sebagai punca rezeki utama saya dan sudah pasti saya akan bermain dengan bersungguh-sungguh pada musim depan walaupun tidak dapat beraksi dalam Piala AFC. Saya juga akan berusaha untuk membantu pasukan sekali lagi menempah tiket ke kejohanan itu.
“Saya tidak akan patah semangat. Jika beraksi dalam kejohanan itu kami berpeluang membuka mata kelab luar,” katanya lagi. - Kedahnews.com