Kastam Kerah Pegawai Menyamar


KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia diarah mengerahkan pegawai membuat penyamaran bagi membendung peniaga kedai dan restoran yang cuba menggelapkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Jabatan Kastam juga akan menjalankan siasatan forensik perakaunan rapi terhadap syarikat besar dan korporat yang memanipulasi invois dan penyata kewangan.

"Mereka sudah memanipulasi sistem kastam dengan pelanggan dan kita tahu taktik ini sedang berlaku.

"Kastam akan pantau, menyamar, membuat penyiasatan lengkap serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut akta yang diperuntukkan," katanya kepada BH, semalam.

BH kelmarin membongkar syarikat tempatan yang dikesan menggunakan taktik licik menggelapkan GST kepada kerajaan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Taktik mengaburi mata penguat kuasa kastam itu didedahkan setiausaha syarikat serta juru audit yang menguruskan akaun pelanggan syarikat masing-masing daripada pelbagai sektor.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengakui sukar mengesan mana-mana syarikat baharu yang ditubuhkan, semata-mata untuk membantu syarikat induk bagi tujuan mengelak GST.

Pasang sistem

Mengulas lanjut, Johari berkata, kastam kini dalam perancangan memasang sistem yang memastikan syarikat yang gagal mematuhi GST agar patuh kepada akta percukaian yang

"Sebelum ini, kastam menumpukan siasatan dan dakwaan kepada syarikat besar kerana kita mahu pematuhan GST disegerakan, namun tidak adil bagi peniaga yang ambil duit rakyat tapi tak bayar kepada kerajaan.

"Kepada syarikat besar sekiranya tertangkap mereka perlu memulangkan jumlah tuntutan yang ditipu ditambah dengan penalti dan didakwa kerana penipu.

"Setakat ini, kita masih belum dapat laporan menyeluruh berapa kerugian ditanggung kerajaan ekoran penipuan GST yang dilakukan peniaga terbabit, namun siasatan rapi dilaksanakan bagi melihat berapa kerajaan terpaksa membayar balik," katanya.

Beliau juga mendedahkan taktik digunakan pengusaha restoran dan pemilik kedai yang menawarkan pilihan pembayaran antara memasukkan GST atau sebaliknya.

"Mereka (peniaga) tanya pelanggan sama ada 'mahu GST atau tak mahu GST' kepada pelanggan apabila buat bayaran.

"Sekiranya ini berlaku, pekedai akan berdepan dengan tindakan tegas, termasuk penalti tinggi dan boleh didakwa selain dihebahkan kepada umum," katanya.

Sumber: BH Online