ALOR SETAR – Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal berhampiran sungai di Sungai Petani dilanda kebimbangan apabila hampir 100 batang kayu balak dihanyutkan ketika berlakunya banjir boleh menjejaskan kediaman mereka.
Tinjauan mendapati kayu balak yang dipercayai hanyut itu adalah datang dari sebuah kilang kayu berhampiran tersangkut di tepi Sungai Petani sepanjang empat kilometer di antara Kampung Wat Siam ke Pekan Baru.
Penduduk Kampung Lebai Man, Azeman Ahmad, 52, menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk memantau perkara itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kembali demi menjamin keselamatan penduduk dikawasan tersebut.
“Sepanjang empat kilometer ini (sungai di Sungai Petani) terdapat beberapa penempatan bermula dari Kampung Wat Siam hingga ke pekan baru. Kejadian banjir baru-baru ini telah menghanyutkan hampir 100 batang kayu balak.
“Kita bernasib baik pada kali ini kerana kayu balak tersebut tersangkut di tepi sungai, tapi saya mengharap tindakan segera pihak berwajib bagi memastikan tiada kejadian buruk yang menimpa penduduk berhampiran pada masa depan,” katanya kepada Utusan Online di sini kelmarin.
Bagi penduduk dari Kampung Raja, Abdul Rahim Din, 69, berkata, kayu balak yang dihanyutkan di sungai berkenaan dipercayai antara punca yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat pada awal bulan ini.
“Kayu balak yang tersadai di tepi sungai tersebut juga mungkin menyebabkan air banjir memasuki rumah kami menjadi lebih lambat surut. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dapat memantau kejadian ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad berkata, pihaknya agak terkejut apabila melihat banyak kayu balak masih tersadai di sepanjang sungai di Sungai Petani dan akan segera selesaikan masalah tersebut secepat mungkin
“Saya sedang berusaha untuk mengadakan satu perbincangan membabitkan pengusaha kilang kayu balak dan penduduk tempatan agar kes begini tidak berulang lagi.
“Saya juga mahu mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa supaya melakukan sesuatu termasuk membesarkan kawasan sungai ini bagi memastikan airnya lebih mudah mengalir ke laut,” jelasnya. -Kedahnews.com