ALOR SETAR - Lebih RM41.7 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Kedah bagi memperkasakan fungsi institusi masjid sebagai pusat kecemerlangan masyarakat selain memastikan kebajikan anak kariah terpelihara.
Perbelanjaan itu termasuk sekitar RM8.2 juta setahun untuk kenaikan elaun imam dari RM800 ke RM1,200, elaun bilal dari RM750 ke RM900 dan elaun siak dari RM475 ke RM700 seorang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, langkah tersebut diharap akan merangsang pegawai masjid untuk lebih fokus kepada peranan mereka mengelola masyarakat, anak kariah dan mengimarakan masjid di negeri ini.
Peruntukan tersebut yang diumumkan dalam pembentangan Bajet Kedah 2018 baru-baru ini, diharapkan menjadi pemangkin agar institusi masjid tidak lagi bergerak dalam keadaan terasing sehingga terdapat anak kariah dan masyarakat setempat yang memerlukan bantuan terbiar tanpa pembelaan dan diabaikan, kata Ahmad Bashah.
Menurut beliau, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program Barakah Masjid sebagai insentif supaya masjid tidak lagi kekal sebagai rumah ibadah malah menjadi institusi yang berperanan membela nasib dan menaja kebajikan anak kariah,” katanya .
Sementara itu kata beliau selanjutnya, kenaikan elaun pegawai masjid adalah sebagai penghargaan kepada penggerak aktiviti di masjid yang bekerja untuk memaksimumkan peranan masjid di samping menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
Beliau berkata, sebagai usaha kerajaan negeri dalam menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf dengan lebih berkesan dan sampai ke peringkat akar umbi, beberapa masjid di daerah Baling dan Sik telah dipilih untuk dijadikan pusat agihan makanan.
“Program tersebut adalah projek rintis bagi memperluaskan lagi elemen kebajikan yang sepatutnya didukung jawatankuasa masjid untuk manfaat anak kariah dengan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya.
Beliau memberitahu, sejumlah RM1 juta disalurkan kepada beberapa masjid terpilih seluruh negeri bertujuan untuk dijadikan klinik rawatan percuma yang dikawal selia oleh Kedah Medical Center (KMC) dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).
Selain itu, beliau berkata, sebuah pusat latihan asnaf yang dicadangkan di Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mergong yang kini kosong. Ia bertujuan memastikan golongan sasaran tersebut mendapat pembelaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka agar keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Kompleks tersebut akan beroperasi pada Januari tahun depan dengan menempatkan pusat latihan, pusat pengumpulan produk jualan, klinik percuma, farmasi, pusat hemodialisis dan pejabat zakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat latihan imam kebangsaan bagi melatih golongan tersebut yang mempunyai potensi dalam bidang keilmuan itu.
“Pusat ini dibina dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan melatih imam dari seluruh negara di kawasan yang dikenal pasti dalam Parlimen Jerai di sini.
Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM6.5 juta untuk membina dan menaik taraf masjid serta surau di seluruh Kedah,” katanya. - Kedahnews.com