Kedah Food Valley: Status Halal Kita Lebih Istimewa - Suraya


ALOR SETAR - Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) diseru supaya tidak melepaskan peluang keemasan menyertai program Kedah Food Valley yang bakal mencetus fenomena sektor agro-moden di negeri ini.

Dengan menjalin usahasama dengan usahawan-usahawan industri makanan di Jepun, sektor pertanian di negeri ini dijangka bakal menerima impak positif yang besar dan menguntungkan, khususnya untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, Kedah Food Valley merupakan program yang bakal mentransformasikan sektor pertanian di negeri ini malah bakal menjadi hub utama pengeluaran industri makanan negara dan antarabangsa.


Malah jelasnya, Kedah Food Valley juga mempunyai satu keistimewaan yang tidak terdapat pada dua lagi Food Valley yang terdapat di Jepun dan Thailand, menyaksikan prospek yang begitu cerah dan meluas bagi usahawan tempatan yang menyertai program berkenaan.

"Hanya ada tiga saja lokasi di dunia yang berkonsepkan Food Valley ini. Satu di Obihiro, Jepun, dan yang kedua di Chiang Mai, Thailand. Kedua-dua Food Valley ini telah membuktikan konsep ini berjaya meledakkan pasaran masing-masing.

"Kedah Food Valley adalah yang ketiga seumpamanya di dunia. Kita mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tidak ada pada dua lagi Food Valley. Kita merupakan hab halal utama dunia.

"Status halal itulah yang menjadi tumpuan dunia sekarang. Bukan saja di negara-negara Islam, malah negara maju dan bukan Islam pun kini sangat tertarik dengan produk-produk makanan halal yang kita keluarkan," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

"Salmon Skin Chips"
Suraya berkata, kerjasama dengan syarikat Jepun telah menyaksikan dua produk makanan tradisi negara matahari terbit itu yang berstatus halal telah berjaya dihasilkan di negeri Kedah, iaitu Mochi dan "Salmon Skin Chips".

"Kita hantar orang kita belajar buat Mochi dan Salmon Skin Chips ini, dan kita hasilkan produk itu di Kedah. Ia kini berstatus halal.

"Saya yakin, kita boleh hasilkan banyak lagi produk makanan halal dengan kaedah tersebut. Ada banyak lagi produk makanan di Jepun yang kita boleh belajar, hasilkan di sini dan pasarkan ke pasaran antarabangsa," katanya lagi.

Prospek kerjasama Jepun-Kedah Food Valley ini turut dibantu oleh permintaan produk makanan halal yang dijangka melonjak bersempena Kejohanan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang bakal berlangsung pada 2020 nanti.

Mochi Red Bean
Gabenor Tokyo, Yuriko Koike sebelum ini daam satu kenyataan media telah berjanji untuk menyediakan lebih banyak makanan halal untuk memudahkan umat Islam yang melawat ibu negara itu.

Sementara itu, bank-bank utama Jepun seperti Sumitomo Mitsui Banking Corp juga aktif menyokong pelaburan yang dibuat oleh firma-firma Jepun dalam memenuhi pasaran halal di negara berkenaan.

Tambahan pula, para pengilang produk makanan laut di negara itu, Edoya Co Ltd juga dilaporkan telah bertindak mengembangkan pangkalan pengeluarannya di luar negara untuk menembusi pasaran Asia Tenggara dan Muslim.

Presidennya, Kazuo Shionoya berkata, Malaysia adalah lokasi paling sempurna bagi syarikat itu untuk merealisasikan perkembangan itu kerana pensijilan halal negara diiktiraf di lebih 41 negara.


Shionoya berkata, perjanjian OEM dengan Jabi Rice Mill Sdn Bhd yang berpangkalan di Pokok Sena, Kedah juga akan melihat Salmon Skin Chips halal yang dihasilkan dan dihantar ke Jepun tahun depan, dan seterusnya dipasarkan di Malaysia dan Timur Tengah.

Justeru itu, sejajar dengan titah Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Ogos lalu, Suraya mempelawa usahawan-usahawan IKS khususnya di negeri Kedah supaya tidak melepaskan peluang menyertai program Kedah Food Valley.

"Rugi jika dilepaskan peluang ini," katanya. - Kedahnews.com