ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah hari ini mengemukakan permohonan bagi membina satu Pusat Jagaan Harian enam tingkat yang dianggarkan bernilai RM200 juta di tapak Hospital Sungai Petani lama.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Leong Yong Kong berkata, inisiatif tersebut sebagai salah satu langkah bagi mengurangkan masalah kekurangan katil di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Tambahnya, kertas kerja untuk permohonan tersebut sudah siap disediakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-11(RMK11).
"Dengan ini sebahagian pesakit tidak perlu dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan minor, rawatan kemoterapi bagi pesakit kanser serta rawatan talasemia iaitu pemindahan darah," katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, di Alor Setar, hari ini.
Beliau menjelaskan perkara tersebut sebagai menjawab soalan Dr. R. Krishanmoorthy (PKR-BukitSelambau) yang bertanyakan tentang wujudkah usaha bagi menaik taraf hospital tersebut ekoran kekurangan katil untuk menampung jumlah pesakit yang ramai.
Selain itu, Yong Kong menambah terdapat juga cadangan untuk menambah satu wad baharu di Hospital Sungai Petani lama pada tahun hadapan dan satu wad lagi pada 2019 setelah kerja-kerja naik taraf dijalankan di bangunan sedia ada.
Dalam pada itu beliau menjelaskan melalui projek Hospital Kluster yang bermula tahun ini membabitkan HSAH bersama Hospital Sik dan Yan, diharapkan usaha menaiktaraf tersebut dapat menyelesaikam masalah kesesakan dan kekurangan katil apabila sebahagian besar pesakit dari Yan dan Sik tidak perlu lagi dimasukkan ke HSAH.
"Ini kerana pakar perubatan pelbagai bidang di HSAH akan melawat dan memberi perkhidmatan kepakaran serta menjalankan prosedur di Hospital Yan dan Sik.
"Di samping itu, mutu penyampaian perkhidmatan di kedua-dua hospital daerah ini dapat ditingkatkan dengan latihan berterusan kepada pegawai perubatan dan kakitangan paramedik serta pertambahan alatan perubatan dan kelengkapan dewan bedah," katanya. - Kedahnews.com