Kedah Siap Siaga Hadapi Gelombang Kedua Banjir


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku  banjir gelombang kedua, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurut beliau, semua jabatan dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarah untuk sentiasa bersiap sedia.

"Kita telah ambil maklum dan semua persiapan telah dibuat di peringkat daerah masing-masing sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir gelombang kedua.  

"Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia juga diharapkan dapat menyebarkan maklumat secara menyeluruh berkaitan perubahan cuaca dan memaklumkan lebih awal supaya persediaan pemindahan segera boleh dilakukan," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, semalam.

Hal ini berikutan, terdapat laporan mengenai negeri-negeri di utara Semenanjung dijangka bakal menghadapi banjir gelombang kedua.

Oleh itu, Ahmad Bashah berkata, beliau telah meminta setiap majlis perbandaran daerah untuk memantau dan melihat sistem perparitan yang sempurna di kawasan masing-masing bagi memastikan aliran air yang lancar memandangkan hujan yang turun luar biasa pada ketika ini.

Terdahulu, dalam satu Majlis Perjumpaan Muafakat Belia Kedah, beliau mengumumkan peruntukan  berjumlah RM100,000 untuk program pembangunan belia. – Kedahnews.com