Kehadiran Mahathir Berjaya Kukuhkan Pakatan Harapan?


ALOR SETAR - Timbul satu analisis yang mengatakan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah seorang pengemudi baharu dalam Pakatan Harapan telah membawa sinar dan berjaya mengukuhkan pakatan itu.

Menurut penganalisis politik, Dr Phoon Wing Keong, meskipun PAS telah meninggalkan pakatan, namun kehadiran Mahathir sangat dihargai dan bakal menarik sokongan pengundi Melayu.

"Sekiranya Mahathir tidak tubuhkan parti dan menyertai Harapan, kemungkinan Harapan amat lemah pada hari ini.

"Pada 2015, PAS meninggalkan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan parti-parti pembangkang dilihat kehilangan tenaga.

"Bagaimanapun, penubuhan parti Mahathir pada 2016 dan menyertai  Harapan pada tahun ini telah  kembali memberikan semangat baharu kepada parti-parti pembangkang yang lain," katanya.

Ujarnya, berbekalkan kewibawaan yang dimiliki pastinya Mahathir mampu untuk menarik sekurang-kurangnya lima peratus undi Melayu melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU14.

"Secara keseluruhannya, Mahathir dan PPBM mampu mengubah situasi dalam PRU14 dan menguntungkan Harapan.

"Walaupun beliau sudah berusia 92 tahun, tetapi penampilan amat diperlukan," katanya. - Kedahnews.com