BINA Darulaman Berhad (BDB), syarikat pemaju hartanah terkenal di utara Malaysia, menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM900,000, pada edisi ketiga Kejohanan Golf Amatur BDB Master dan Golf Amal 2017.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Izham Yusoff berkata, hadiah tersebut termasuk sebuah rumah berkembar dua tingkat dan dua kereta.
Menurutnya, acara itu akan diadakan di Kelab Golf dan Country Darulaman (DGCC) Kedah, yang telah dinaik taraf dengan kos RM1.8 juta, dan bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Disember ini.
“Rumah berkembar dua tingkat yang terletak di Darulaman Perdana, Sungai Petani serta dua kereta, Toyota Vios serta Perodua Myvi ditawarkan bagi pemain pertama yang berjaya melakukan pukulan selubang (hole-in-one) pada setiap hari di lapangan golf 18 lubang yang baru dinaik taraf itu.
"Jumlah keseluruhan hampir RM1 juta itu, sama seperti kejohanan tahun lalu tetapi tahun lalu kita menawarkan sebuah banglo.
"Kali ini kita pecahkan nilai itu agar setiap hari ada satu hadiah hole-in-one bagi menarik penyertaan," katanya dalam sidang media, di pejabatnya, baru-baru ini.
Izham berkata, acara popular tersebut turut memberi peluang untuk mewujudkan rangkaian dengan prospek baharu atau berpotensi untuk memperkuat hubungan dengan jalinan perniagaan sedia ada.
“Ini adalah tahun kedua acara tersebut akan bergabung dengan BDB Masters yang merupakan puncak untuk sebarang acara golf yang diadakan di Utara Malaysia.
“Terdapat empat kategori akan dipertandingkan di bawah BDB Master iaitu Gross, Nett, Intermediate dan satu kategori baharu iaitu senior, selaras dengan National Handicap System (NHS),” katanya.
Sasar 160 penyertaan
Berikutan penyertaan yang menggalakkan, Izham berkata, penganjur menyasarkan 160 penyertaan pada edisi kali ini berbanding 120 peserta tahun lalu.
"Buat masa ini kita sudah menerima separuh daripada sasaran iaitu lebih kurang 80 penyertaan dan separuh daripada yang mendaftar adalah dari Lembah Klang.
“Terdapat juga peserta yang mendaftar adalah pemain pada edisi terdahulu,” katanya.
Tambahnya, acara tersebut terbuka kepada semua pemain golf amatur baik pemain tempatan dan juga luar negara.
“Pemain yang berjaya melakukan 24 handicap dan ke bawah layak untuk menyertai kategori seterusnya.
“Bagi pemain yang berjaya melalui pusingan kelayakan pada 15 dan 16 Disember akan layak untuk bersaing pada hari terakhir bersama dengan acara golf amal,” katanya.
Izham berkata, yuran pertandingan untuk kejohanan adalah sebanyak RM400 bagi ahli dan RM480 untuk bukan ahli.
“Bagi BDB Master akan menggunakan format Sistem play Stroke sementara acara amal akan menggunakan format Stableford.
“Untuk yang ingin menyertai boleh menadaftar di kaunter golf DGCC atau boleh terus hubungi kami melalui Facebook: darulamangolf atau di talian 04-9170001.
Sumbangan disalur kepada mangsa banjir
Tidak penting juga, penganjuran kejohanan itu kata Izham, bertujuan untuk mempromosikan Kedah sebagai destinasi pelancongan sukan, yang juga terkenal sebagai pusat perniagaan dan pelaburan yang menarik.
“BDB dan DGCC juga adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pelancongan dan pelaburan, sejajar dengan matlamat korporat kami untuk menyumbang secara positif ke arah keperluan sosial dan persekitaran masyarakat di mana kami beroperasi,” katanya.
Selain kejohanan bagi mempromosikan pelancongan sukan di negeri Kedah tersebut, Izham berkata, sumbangan yang diterima menerusi kejohanan golf amal yang diadakan pada hari terakhir akan disalurkan kepada badan kebajikan.
“Sumbangan juga mungkin boleh digunakan untuk keperluan mangsa banjir di Pulau Pinang.
“Edisi lalu menyaksikan sumbangan sebanyak RM50,000 disalurkan kepada empat badan kebajikan menerusi golf amal yang dianjurkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian