PUTRAJAYA – Selepas genap empat bulan lalu Majlis Pelancaran Projek Negara – Penjelajah Grand Slam Malaysia 2017 di ibu negara, semalam Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) menerima kejutan unik.
Lebih menarik apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyempurnakan acara pelancaran ekspedisi terbaharu KE7B itu secara terbuka menyatakan komitmen sumbangan peribadi beliau.
“Saya dengan ini mengumumkan sedia beri sumbangan sebanyak RM100,000 untuk projek ini,” jelas beliau sekali gus memeranjatkan hadirin ketika berucap pada majlis tersebut di Bangunan Perdana Putra di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid turut berharap baki sebanyak RM60,000 lagi dapat diusahakan pihak KE7B menerusi dana tajaan pelbagai pihak demi memastikan misi nasional berkenaan mampu menjadi kenyataan menjelang akhir tahun ini.
“Saya berharap mungkin pihak KE7B boleh cari lagi penaja. Ini bukan permintaan tetapi arahan,” kata Ahmad Zahid secara berseloroh merujuk kepada usaha gigih dilakukan penasihat kelab itu, Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusof.
Beliau kemudian pada akhir ucapan turut memimpin bacaan doa selamat sambil tiga kali melafazkan ayat ‘kejayaan’ dalam bahasa Arab buat Penjelajah Negara yang juga Presiden KE7B, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Ahmad Zahid selepas itu menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada penjelajah tersebut yang mesra disapa dengan nama Qobin sebagai simbolik menyempurnakan misi terakhir Kutub Selatan dari 15 hingga 31 Disember ini.
Anak jati Lembah Pantai di ibu negara itu dijadualkan berlepas ke Punta Arenas, Chile sebelum memulakan misi eksplorasi pada 19 Disember dan dijangka menamatkan penjelajahan selewat-lewatnya pada 27 Disember depan.
“Saya berharap selepas ini KE7B dapat lahir 20 orang lagi penjelajah seperti Qobin,” tegas beliau mahu usaha kelab itu menjadi motivasi buat generasi muda meletakkan nama Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik segala bidang.
Ekspedisi secara ski sejauh 110 kilometer dan bakal mengambil masa selama tujuh hari itu dijangka ‘memahat’ nama Qobin untuk menjadi rakyat Malaysia yang pertama berjaya menamatkan misi ekspedisi ekstrem di seluruh dunia.
Ini kerana beliau sudah melengkapkan cabaran penjelajahan di pelbagai negara bermula dengan misi ‘Tujuh Puncak Tujuh Benua’ sedekad lalu dan terkini menyudahkan ekspedisi berski di titik 0 darjah Kutub Utara pada April lalu.
Untuk menerima status elit ini, seseorang perlu selesai menakluk tujuh puncak tertinggi di tujuh benua selain dua kutub. Setakat ini hanya 70 orang dari seluruh dunia sudah mencatatkan nama sebagai penjelajah Grand Slam.
Untuk rekod, ekspedisi kali ini juga ialah projek antarabangsa kali kesembilan dijayakan oleh KE7B sejak 2009 termasuk misi jelajah di 23 buah negara, Renang Selat Inggeris, Everest Felda 2013 dan Merentas Greenland.
Pihak KE7B setakat ini berjaya melahirkan 24 ikon sukan ekstrem. Jika berjaya, Qobin juga menjadi orang Islam ketiga dan termuda di dunia diiktiraf badan penjelajah sebagai Explorers Grand Slam atau Penjelajah Grand Slam.
Pada 20 April, tiga peserta KE7B melakar sejarah menamatkan misi 0 darjah Utara hanya dalam tempoh enam hari iaitu lima hari awal dan kebetulan ketika hari ulang tahun kelahiran Qobin ke-35.- Agensi