Kementerian Kesihatan Sedia Hadapi Banjir Serentak


BALIK PULAU - Kementerian Kesihatan sudah bersedia untuk menghadapi kejadian banjir yang berkemungkinan berlaku serentak di negeri Pantai Timur dengan gelombang kedua di Pulau Pinang.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata bekalan ubatan dan pegawai kesihatan juga berada pada tahap mencukupi, selain bersedia mengerahkan pasukan dari negeri lain jika diperlukan.

"Kita sememangnya sudah bersedia, tambahan setiap tahun kita akan mengerahkan pasukan perubatan yang mencukupi bagi menghadapi banjir di negeri Pantai Timur dengan bekalan ubat juga sentiasa mencukupi.

"Bagaimanapun, persiapan pada tahun ini akan mengambil kira gelombang kedua dan ketiga yang dijangka melanda Pulau Pinang hingga Februari hadapan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Usahawan Balik Pulau, di sini, hari ini.

Simposium yang dianjurkan dengan kerjasama Amanah Ikhtiar itu turut dihadiri Pengurus Amanah Ikhtiar cawangan Pulau Pinang, Mohd Fauzi Othman.

Pada 5 Oktober lalu, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 meter hingga 1.5 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat yang turut menumbangkan puluhan pokok dan meragut tujuh nyawa.

Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang turut memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku di negeri itu sejak tahun 2013 hingga 15 Oktober lalu.

Sebanyak 22 kejadian banjir kilat direkodkan pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kes tahun ini setakat 15 Oktober lalu.

Mengulas kejadian banjir luar biasa di negeri itu, Dr Hilmi berkata, keseluruhan hospital dan klinik kesihatan yang terjejas akibat kejadian itu sudah memulakan operasi seperti sedia kala.

"Kerugian yang kita alami juga adalah pada tahap minimum. Semua hospital dan klinik kesihatan yang terjejas itu hanya dinaiki air pada paras yang rendah serta tidak menjejaskan peralatan dan ubat-ubatan," katanya.

Sumber: BH Online