Kenapa Air Perlu Cukup Dalam Tubuh Badan?


KEADAAN cuaca yang tidak menentu di Malaysia amatlah membimbangkan, sekejap panas terik, tiba-tiba asyik hujan pula, perkara ini membuatkan badan kita terdedah dengan penyakit.

Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar ambil langkah berjaga-jaga terutama dari segi kesihatan dan tentunya memastikan kandungan air di dalam badan cukup untuk menempuh kehidupan seharian.

Ahli Nutrisi Amerika Syarikat, Lisa Drayer menekankan pentingnya memastikan kandungan air dalam badan.

"Air mengawal suhu badan, memastikan kelicinan sendi-sendi, membantu cegah jangkitan serta menyalurkan nutrien ke sel-sel tubuh.

"Selain itu, buah pinggang dan hati yang bekerja keras membuang toksin dalam badan juga bergantung kepada air untuk menjalankan tugas mereka," katanya yang dipetik laporan CNN. 

Air membentuk kira-kira 60 peratus daripada berat badan, walaupun kita boleh hidup berminggu-minggu tanpa makanan namun dehidrasi boleh membunuh dalam masa beberapa hari atau bahkan jam bergantung pada suhu dan persekitaran.

Dehidrasi bermaksud badan kita kekurangan air dan tubuh akan hilang air melalui proses pernafasan, peluh, air kencing  dan pergerakan usus membuatkan anda akan cepat letih walaupun tidak berbuat apa-apa.

Sementara itu, dehidrasi yang berpanjangan boleh mengkristal garam dan mineral dalam air kencing membawa kepada pembentukan batu karang.

Selain itu, dehidrasi juga sering disalah ertikan dengan lapar menyebabkan berat badan boleh naik kerana tubuh cuba memenuhi keperluan tersebut.

"Cara terbaik untuk mengurangkan berat badan ialah dengan minum air terutamanya sebelum dan selepas makan.

"Ia membantu kita makan sedikit kalori sahaja namun berasa kenyang," katanya.

Kajian menunjukkan bahawa kekurangan air dalam badan juga membawa kepada migrain  dan sakit kepala itu boleh berpanjangan sekiranya kita dehidrasi.

Di samping itu, dehidrasi menyebabkan kita tidak dapat menumpukan perhatian, masalah ingatan jangka pendek, murung dan berperasaan cemas.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Korey Stringer yang mengkaji prestasi atlet, Douglas Casa menjelaskan bahawa tanda-tanda dehidrasi berbeza mengikut kumpulan umur.

"Bayi dan kanak-kanak kebiasaannya tidak dapat mengenal pasti keperluan mereka dalam pengambilan cecair oleh itu, penting untuk sentiasa memberikan mereka pengambilan cecair yang kerap.

"Selain itu, pastikan juga simptom-simptom dehidrasi seperti kerengsaan, kelesuan, tiada air mata ketika menangis, lampin tidak basah setelah tiga jam, mulut kering, mata pipi tenggelam dan kecutan tempat lembut di kepala.

"Bagi orang dewasa pula, simptom dehidrasi adalah keletihan, pening, keliru, kurang kencing, dan sering dahaga, bagaimanapun, untuk mengenal pasti dehridasi untuk warga tua adalah menerusi air kencing mereka," katanya.

Apakah cara terbaik untuk mengekalkan dehidrasi? 'National Academics of Medicine' mencadangkan pengambilan 11 cawan air ( 2.7 liter) setiap hari bagi wanita dan 16 cawan (3.7 liter) bagi lelaki.

Kedengaran sukar kan,  namun sumber air untuk tubuh juga boleh didapati melalui makanan.

"Saya sering mengingatkan orang ramai untuk makan makanan berasakan sup atau minum minuman seperti kopi dan susu untuk pengambilan cecair harian.

"Selain itu, boleh juga makan sayur-sayuran seperti timun, salad, saderi, tomato dan buah-buahan seperti tembikai, tembikai susu dan strawberi.

"Kalau tidak suka minum air kosong sahaja, boleh juga tambahkan buah seperti lemon, beri , oren atau timun di dalamnya bagi menambahkan rasa," kata Drayer. 

Sumber: Sinar Harian