Kenapa Perlu Elak Ambil Kopi Ketika Perut Kosong


BAGI penggemar kopi, secangkir kopi adalah keperluan harian. Tiada cara yang lebih baik daripada menyirup kopi hangat untuk memulakan hari anda.

Malah anda tidak perlu rasa bersalah apabila mempunyai tabiat mengambil kopi kerana minuman itu mempunyai pelbagai khasiat buat kesihatan. Antaranya adalah mencegah penyakit Demensia.

Menurut laporan Business Insider, walaupun tidak salah mengambil secawan kopi untuk memulakan aktiviti harian, anda harus berwaspada dan tidak mengambilnya ketika perut kosong.

Mengapa? Ini kerana kopi boleh bertindak serius terhadap sistem pencernaan. Kopi melancarkan pengeluaran asid dari perut. Jika anda belum mengambil sesuatu makanan untuk mengalas perut, asid boleh merosakkan lapisan perut selain menyebabkan sakit kepala serta pedih ulu hati.

Itu juga boleh berlaku terhadap kopi tanpa kafein.

Namun, itu bukan satu-satunya risiko yang boleh berlaku.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan PushDoctor.co.uk, Dr Adam Simon pengambilan kopi ketika perut kosong boleh membuat anda merasa keresahan, menggigil dan perubahan emosi.

"Pengambilan kopi (ketika perut kosong) juga boleh meningkatkan kadar kebimbangan, kadar denyutan jantung dan ketidakupayaan untuk memberi tumpuan,

"Tabiat menghirup kopi sebagai pengambilan pertama sebelum melakukan aktiviti juga berkemungkinan mengganggu circadian rythm. Ini kerana, jam dalaman anda mengeluarkan hormon yang dipanggil cortisol ketika bangun dari tidur dan menyedarkan anda daripada rasa mengantuk.

"Bertentangan dengan apa yang anda fikirkan, kajian menunjukkan pengambilan kopi awal pagi sebenarnya menurunkan kadar cortisol dan membuatkan anda rasa lebih mengantuk,” katanya.

Sudah pasti sesetengah orang mengamalkan pengampilan kopi dengan perut kosong selama bertahun-tahun dan merasa 'imun'.  Jika itu adalah anda, teruskan!

Tetapi bagi yang lain, pakar diet Leslie Langevin mengesyorkan kafein dipadankan dengan sarapan pagi atau snek bagi mengelakkan perut anda daripada meragam.

Sumber: Astro Awani