ALOR SETAR - Tahukah anda bahawa pada tahun 2014, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mengubah logo pasukan beridentitikan helang merah dalam rangka transformasi bola sepak negeri dan tindakan tersebut telah mengundang kontroversi hangat dalam kancah bola sepak.
Tindakan KFA menamatkan khidmat Sang Kenari sebagai maskot pasukan sedikit sebanyak ia turut mencetuskan bantahan di kalangan penyokong bola sepak Kedah pada ketika itu.
Pada pendapat sesetengah pihak, logo lama dan maskot kenari terkandung sejarah jatuh bangun bola sepak negeri jelapang padi itu dan ia tidak wajar diganti begitu sahaja.
Namun, ada juga suara yang menyatakan langkah ini seolah cubaan memadamkan jasa dan legasi Allahyarham Dato Ahmad Basri Akil yang banyak berjasa kepada bola sepak Kedah.
Pun begitu, di sebalik bantahan penyokong, pengurusan bola sepak KFA tetap meneruskan langkah transformasi bola sepak Kedah termasuk mengubah logo dan maskot pasukan.
“Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang.
“Jadi sebab itu Helang Merah dipilih,” ujar penaung Persatuan Bola Sepak Kedah pada ketika itu, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Secara teknikalnya, bendera Kedah memang dominan dengan warna merah. Manakala burung helang sinonim dengan imej negeri Kedah dari segi perlancongan.
Tidak ada rekod menyatakan wujudnya spesis helang merah di dalam ensiklopedia.
Bagaimanapun, Helang Merah sering diguna pakai sebagai satu simbolik kekuatan sesebuah unit.
Sebagai contoh, pasukan tempur udara Amerika misalnya, “America’s Secret MIG’s Squadron” turut berlogokan helang merah.
Manakala, sebuah pasukan bola sepak di Surinam turut menggunakan lambang yang sama.
Walaupun sudah tidak lagi menggunakan gelaran Kenari, Kedah masih mengekalkan warna Hijau-Kuning sebagai warna utama pasukan.
Namun begitu, pencapaian pasukan era Helang Merah telah mengatasi isu kontroversi tersebut.
Jadi, penyokong Kedah lebih tertumpu kepada topik keputusan dan aksi pemain di dalam padang berbanding dengan polemik logo dengan kembali semula ke Liga Utama pada musim 2016.
Di bawah logo dan maskot yang baru, Skuad Helang Merah telah muncul naib juara Piala Malaysia pada 2015 dan menjuarainya pada musim 2016.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Kedah FA adalah pesaing terkuat pasukan JDT di peringkat domestik sejak langkah transformasi ini diambil.
Kenari atau Helang Merah ? sokongan tetap sama!
Sang Kenari, gemilang lampau Hijau Kuning atau Helang Merah pula dalam langkah besar di persada bola sepak Malaysia.
Walaupun kenari sudah ‘tamat kontrak’ namun ia tetap mekar subur di bibir peminat bola sepak Kedah dan di negara kita.
Tetapi kini dapat dilihat para penyokong sudah selesa dan mungkin ada yang masih dalam proses untuk 'move on' bagi menerima Helang Merah buat masa ini.
Ada pula yang mengambil pendekatan untuk tidak membincangkannya dan lebih terbuka di dalam hal ini.
Apapun, tidak bermakna mereka tidak suka dengan Helang Merah ataupun Kenari, sebaliknya ia melibatkan nilai sentimental.
Yang pasti mereka adalah penyokong Kedah sejati.
Kenari atau Helang Merah, kedua-duanya masih lagi burung yang gemar terbang ke Bukit Jalil ataupun Shah Alam! - Kedahnews.com