Kerajaan Bakal Laksana Kempen Kesedaran Penggera Kebakaran


BAGAN DATUK - Kesedaran mengenai sistem penggera pengesan asap yang diyakini boleh mengesan kejadian kebakaran dengan pantas dalam kalangan rakyat masih berada pada amat rendah.

Sehubungan itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, kementeriannya akan mengadakan kempen kesedaran mengenai perkara itu di seluruh negara bagi memastikan kes kebakaran melibatkan rumah dapat dikurangkan.

"Kita memang dah berbincang di peringkat kementerian mengenai sistem penggera pengesan asap ini, kita lihat ia merupakan satu alat penting untuk mencegah kebakaran.

"Kita akan menggalakkan orang ramai memasang sistem ini dengan melakukan kempen namun ianya bukanlah satu peraturan atau wajib buat masa ini," katanya pada satu sidang media pada Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia, di Hutan Melintang pada Ahad.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya telah pun mewajibkan setiap kediaman yang akan dibina oleh pemaju dilengkapi alat pemadam api melalui Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL).

Namun katanya, masih terdapat beberapa buah negeri yang belum mewartakan undang-undang berkenaan justeru pelaksanaanya tidak dapat dijalankan di negeri-negeri terlibat.

"Undang-undang ini hanya dikenakan ke atas semua projek perumahan di negeri-negeri yang mewartakannya sahaja yang mana pemasangan alat pemadam api untuk mecegah kebakaran adalah diwajibkan.

"Untuk negeri-negeri yang belum mewartakannya, mereka tidak wajib menyediakan alat tersebut tetapi melalui satu mesyuarat bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) baru-baru ini, saya telah minta mereka segera melaksanakannya," ujar beliau.

Sumber: Astro Awani