Kerajaan DAP P. Pinang Mengaku "Kalah", Tak Mampu Atasi Banjir



KERAJAAN pimpinan DAP Pulau Pinang akhirnya mengakui kelemahan sistem perparitan negeri itu antara punca kejadian banjir yang melanda lebih 100 kawasan di kelima-lima daerah di negeri itu sejak semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata sistem perparitan sedia ada di Pulau Pinang sememangnya tidak mampu menampung aliran air yang begitu banyak ketika hujan lebat.

Menurutnya, jumlah taburan hujan luar biasa sejak 2 petang semalam yang bertembung dengan kemuncak fenomena air pasang juga antara punca berlaku banjir kilat.

“Sistem perparitan semula jadi dan buatan sedia ada tidak mampu menampung aliran air hujan, tambah lagi taburan hujan yang begitu di tinggi di kelima-lima daerah telah menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air,” katanya kepada media di George Town.

Kadar taburan hujan yang direkodkan menunjukkan Seberang Perai Utara mencatatkan paras tertinggi iaitu 372 milimeter diikuti Seberang Perai Tengah (327 mm), Timur Laut (289 mm), Barat Daya (237 mm) dan Seberang Perai Selatan (165 mm).

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir selepas hujan lebat yang turun sejak 2 petang semalam di mana 75 kejadian pokok tumbang dan lapan kejadian tanah runtuh telah dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng memberi alasan  kerajaan negeri juga tidak mempunyai sumber anggota dan kelengkapan yang mencukupi untuk menghadapi bencana banjir ini.

Katanya, beliau amat menghargai kesediaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertindak cepat untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri dijadual melawat Pulau Pinang dan Kedah untuk meninjau keadaan banjir hari ini. - Kedahnews.com