Kerajaan Negeri Beri Ganjaran RM1 Juta Kepada JDT


JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri memberi ganjaran RM1 juta kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana berjaya muncul juara Piala Malaysia 2017.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kota Iskandar, semalam.

Imbuhan tersebut bagi menghargai usaha serta kerja keras JDT yang berjaya menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir Piala Malaysia dimenangi pasukan dari negeri ini 26 tahun lalu.

JDT berjaya melakar sejarah tersendiri apabila dinobat sebagai juara Piala Malaysia 2017 selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam final di Stadium Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

Sumber: Utusan Online