Kerajaan Negeri PP Bentang Usul Tergempar


GEORGETOWN - Kerajaan negeri hari ini, membentangkan usul tergempar berhubung tragedi banjir luar biasa yang melanda Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pagi tadi.

Usul itu dibentangkan EXCO Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow dan disokong semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Dewan yang mulia ini meminta pihak berwajib di peringkat Persekutuan, negeri, mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) meneliti dan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) dalam menyampaikan maklumat, menggerakkan kerja menyelamat dan bantuan secara lebih efektif.

"Dewan yang mulia juga menyeru semua pihak berwajib dapat bekerjasama untuk menangani masalah banjir dengan pelaksanaan projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong), berkata kerajaan negeri perlu mengemas kini bantuan kepada penduduk yang terjejas agar ia dapat disalurkan secara sistematik.

"Di tempat saya, ada bantuan daripada kerajaan negeri kepada mangsa, tapi ia diberi tidak ikut jadual.

"Malah, bantuan yang diberikan juga tidak cukup. Ramai mangsa yang terpaksa tidur di pusat pemindahan tanpa bantal, selimut, dan dalam keadaan serba kekurangan," katanya.

Ketika ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang melaporkan 2,664 mangsa banjir masih berada di 36 pusat pemindahan yang dibuka di seluruh Pulau Pinang.

Sumber: BH Online