Kereta Mewah Bukan Hadiah Kahwin Adib, Izara


KUALA LUMPUR - Anak tiri kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adib Khalid menafikan dia dan bakal isterinya pelakon Izara Aishah menerima hadiah berupa sebuah kereta mewah berharga RM1 juta sempena perkahwinan mereka.

Adib, 27, memberitahu, kereta mewah Rolls Royce model Phantom itu hanya dipinjamkan oleh abang sulungnya, Anas Khalid untuk digunakan sempena majlis perkahwinan mereka.

"Kereta tersebut bukan hadiah kahwin sebaliknya sebagai pinjaman sahaja untuk kami melakukan penggambaran sebuah program perkahwinan bagi siaran Astro.

"Ia diberi pinjam oleh abang saya, Anas untuk tujuan itu selain akan digunakan untuk perkahwinan kami sehingga selesai semua majlis," jelas Adib.

Kata Adib lagi, berlaku salah faham dengan laporan berita tersebut kerana adiknya Asyraf Khalid yang memuat naik video di aplikasi Insta Story telah bergurau dengan mengatakan ia adalah hadiah perkahwinan mereka.

"Saya dan Izara sendiri pun tidak ada kongsi apa-apa video atau gambar di Instagram. Cuma Asyraf sahaja yang memuatnaiknya dan dalam video itu dia sekadar bergurau dengan mengucapkan tahniah kepada kami kerana dapat hadiah kereta," katanya. 

Sumber: Kosmo