Kes Dadah, Nadzmi Mengaku Ditahan Kurang 24 Jam


NAMA Nadzmi Adhwa mula dikenali dalam drama Hati Perempuan yang disiarkan pada tahun 2015 yang lalu. Namanya semakin dikenali apabila mengacarakan sebuah program travelog.

Namun, namanya disebut-sebut sejak minggu lalu apabila tersebarnya berita tentang penahanan seorang pelakon lelaki kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Mindorder Sdn. Bhd. yang juga syarikat pengurusannya, Nadzmi mengakui dia antara tiga individu yang ditahan pada pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, akibat terlalu percayakan kawan baik sendiri, dia turut terkena tempias kawannya yang sememangnya sedang dalam pemerhatian pihak polis.

“Nasib tidak menyebelahi saya apabila pihak berkuasa menahan saya sewaktu berada bersamanya. Kesilapan saya adalah terlalu mempercayai teman dan terpengaruh.

“Bagaimanapun peristiwa ditahan pihak berkuasa banyak memberikan pengajaran kepada saya agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan,” katanya dipetik mStar Online.

Bagaimanapun, aktor berusia 25 tahun ini ditahan tidak sampai 24 jam sebelum dibebaskan polis selepas diyakini memang tidak bersalah.

“Saya yakin tidak bersalah dalam hal ini dan telah pun dibebaskan tidak sampai 24 jam selepas ditahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengacara rancangan Jalan-Jalan Makan Angin ini memohon maaf dengan apa yang telah berlaku dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya itu.

Pukul 1.30 pagi Jumaat lalu, Nadzmi telah ditahan atas dakwaan memiliki 5.97 gram ganja di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Pihak polis turut menemui sebuah tin aluminium berisi daun ganja yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan. – Kedahnews.com