Penderitaan yang hadapi rakyat menghadapi banjir besar dan tanah runtuh akibat kerakusan kerajaan Pulau Pinang menarah bukit untuk projek perumahan mewah akan diketengahkan pada Perhimpunan Agung UMNO bulan depan
UMNO Pulau Pinang akan menggunakan platform itu bagi membawa pelbagai isu berbangkit menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terutama membabitkan isu kelemahan pentadbiran kerajaan DAP.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata UMNO akan diwakili Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said bagi membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO.
;
Beliau berkata, pihaknya juga berharap perhimpunan berkenaan akan membakar semangat ahli dan pemimpin UMNO negeri dalam persiapan terakhir menjelang PRU-14 selain menjadi pengajaran kepada rakyat negeri itu yang silap memilih kerajaan DAP.
"Malah, kita juga mahu mengingatkan semua pihak bahawa perubahan kerajaan baik di peringkat negeri dan Pusat tidak semestinya akan membawa kebaikan kepada rakyat malah boleh menyebabkan kemudaratan.
"Ia terbukti apabila sepanjang 10 tahun kerajaan DAP Pulau Pinang memerintah banyak isu berlaku di negeri ini termasuk runtuhan tanah dan banjir kilat disebabkan pembangunan yang tidak terkawal sehingga menyusahkan rakyat," katanya
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dinasihatkan tidak bersikap ego dengan mendakwa mempunyai pengalaman dan mahir dalam menangani bencana alam, sama seperti langkah yang biasa diambil oleh kerajaan Pusat.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, pengalaman dan keupayaan Kerajaan Persekutuan mengendalikan setiap kejadian banjir atau bencana alam sepatutnya dijadikan panduan demi kebaikan rakyat di Pulau Pinang.
Menurutnya, Guan Eng seharusnya bijak dalam membezakan antara kepentingan rakyat dengan ideologi politik kerana isu berbangkit melibatkan soal kebajikan.
“Sebagai pemimpin negeri, Guan Eng harus meletakkan soal kebajikan dan keselamatan rakyat sebagai keutamaan, bukannya semata-mata berorientasi keuntungan sahaja.
“Agak menghairankan setelah DAP memerintah, kerajaan negeri selama ini masih tidak menyediakan sistem amaran awal bencana demi kebaikan bersama,” katanya.
Banjir besar baru-baru ini telah melumpuhkan kegiatan harian penduduk dan ekonomi di sebahagian Pulau Pinang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zajid Hamidi turut meninjau bagi menyelaraskan bantuan di samping menggerakkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu mengsa-mangsa banjir. - Kedahnews.com.