KETAGIHAN penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah antara punca berleluasanya amalan tular dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, di sebalik ketagihan itu tercetus keghairahan dan keinginan tinggi untuk berkongsi pelbagai bahan bagi menarik perhatian individu lain di platform tersebut.
“Keghairahan dan ketagihan ini berlaku apabila cecair dopamine dirembes secara berlebihan di dalam sel otak.
“Semakin tinggi kandungan dopamine dalam organ tersebut, semakin ghairah dan ketagih seseorang terhadap sesuatu perkara.
“Dalam konteks ini, keghairahan serta ketagihan adalah merujuk kepada perkongsian di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Andrew memberitahu, tindakan berkongsi atau menularkan berita dan informasi di media sosial akan meningkatkan keyakinan diri si pelaku.
Katanya, netizen terbabit akan berasa gembira kerana dapat berkongsi pelbagai maklumat untuk manfaat bersama.
“Tetapi mereka lupa, bukan semua yang dikongsikan itu sahih, positif dan membantu. Lebih parah, apabila seseorang itu secara tidak sedar melakukan kesalahan besar dengan berkongsi sesuatu yang negatif, palsu dan menyentuh sensitiviti di laman sosial.
“Oleh itu, lebih baik buat penilaian dan fikir secara waras sebelum kongsi sesuatu bahan di Facebook, Twitter atau Instagram,” ujarnya.
Sumber: Utusan Online