Ketua Pembangkang Kelantan Diarah Keluar Dewan


KOTA BHARU – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) diarah keluar daripada persidangan DUN kira-kira pukul 11.20 pagi tadi selepas ingkar arahan Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub.

Berikutan itu, empat Anggota DUN Barisan Nasional (BN) iaitu Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Datuk Ramzi Ab Rahman (Dabong), Ab Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) turut bertindak keluar dewan sebagai tanda solidariti terhadap Nozula.

Abdullah membuat keputusan itu apabila Nozula bertegas ingin membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob Isnin lepas, walaupun hari ini dijadualkan untuk sesi penggulungan.

Bagaimanapun, Abdullah meminta Nozula supaya duduk kerana Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk Dr Ramli Mamat ingin memulakan penggulungan.

Keadaan kecoh seketika apabila Nozula tetap berkeras dengan pendiriannya untuk berbahas dengan alasan pembangkang masih belum berpuas hati dengan sesi perbahasan yang berlangsung semalam.

“Kita (pembangkang) hanya ada beberapa orang sahaja untuk membahaskan Bajet 2018. Yang Berhormat Speaker, dengan belas kasihan, saya minta izin beri peluang kepada saya sebagai ketua pembangkang untuk berucap sedikit bagi pihak rakyat,” katanya.

Mohamad Zaki Ibrahim (PAS-Kelaboran) kemudiannya bangun dan menunjukkan Buku Peraturan Dewan yang menyebut setiap anggota dewan perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Speaker.

Nozula bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker sebelum Abdullah mengarahkan bentara dewan untuk mengiringi keluar ADUN Paloh itu kerana melanggar peraturan dewan dan mengganggu sesi penggulungan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, Abdullah berkata kerajaan telah memberikan peluang kepada 10 ADUN untuk membuat perbahasan semalam merangkumi enam ADUN PAS (Melor, Gual Periok, Gaal, Perupok, Tendong, Kelaboran), tiga ADUN BN (Ayer Lanas, Selising, Kok Lanas) dan seorang ADUN daripada Parti Amanah Negara (PAN).

“Dengan ini secara automatik menafikan dakwaan Paloh bahawa kerajaan sahaja yang buat perbahasan,” katanya.

Ketika ditemui di luar dewan, Nozula berkata beliau sedih dengan perbuatan Speaker yang sepatutnya memberi peluang kepadanya untuk berbahas sebagai Ketua Pembangkang.

Kelantan mempunyai 45 ADUN dengan PAS menguasai 31 kerusi, BN (12 kerusi), satu PKR dan satu Amanah. – Bernama