KFA Akan Bincang Dalam Masa Terdekat, Tunggu Pengumuman - Ginney


ALOR SETAR - Teka-teki mengenai calon Ketua Jurulatih skuad Lang Merah semakin terjawab apabila Puan Sri Ginney Chew dilapor telah berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, petang semalam.

Pengarah ECK Group Sdn Bhd itu berkata, beliau telah melunaskan tanggungjawabnya untuk cuba membawa bekas penolong jurulatih Kedah itu kembali ke Alor Setar sudah dilaksanakan seperti yang dijanji.

"Saya dan Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen telah berjumpa dengan Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah lebih kurang pukul 2 petang tadi (semalam).

"Beberapa perkara dibincangkan dan kami juga telah menyerahkan profil peribadi  mengenai jurulatih Marco," jelasnya memetik laporan mStar.

Selain itu, Ginney, 39, berkata, beliau kini lega kerana langkah pertamanya sebagai penaja utama pasukan Kedah serta membawa suara penyokong telah dilaksanakan dengan baik

"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, kami akan cuba yang terbaik demi kepentingan bola sepak Kedah.

"Keputusan sama ada lulus atau tidak cadangan saya itu di tangan KFA.

"Presiden perlu berbincang dengan pengurusan KFA terlebih dahulu, dan mungkin dalam tempoh terdekat ini beliau akan mengumumkan sendiri," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Ginney berharap semua penyokong bersabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada KFA. - Kedahnews.com