KFA Akui Sedang Intai Ketua Jurulatih Baru, Termasuk Dari Brazil?


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah, (KFA) hari ini mengakui sedang mencari Ketua Jurulatih baru yang sesuai bagi mengemudi skuad Lang Merah dalam menghadapi cabaran kancah bola sepak negara pada musim depan.

Setiausaha Kehormat KFA, Dato' Aminuddin Omar berkata, KFA kini sedang mengintai beberapa jurulatih yang dilihat mampu mengambil alih tugas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

"Sebenarnya, kita amat menghargai pencapaian coach Nidzam di mana beliau berjaya membawa Kedah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Namun hasrat beliau untuk menimba lagi pengalaman dan merasakan dirinya masih kekurangan kemampuan (untuk menghadapi musim depan), beliau rela KFA mencari mana-mana jurulatih yang baru untuk membantu. Beliau rela menjadi Penolong Jurulatih.

"KFA sedang memikirkan tentang perkara tersebut dan sedang mencari jurulatih baru untuk mengendali pasukan kita pada tahun hadapan.

"Setakat sekarang, kita ada dua tiga nama namun belum dapat diputuskan lagi. Mungkin dalam hujung bulan ini kita dapat putuskan siapa sebenarnya Ketua Jurulatih pasukan yang bakal terpilih," katanya kepada Kedahnews.com dalam satu sidang media yang berlangsung di sini, tengahari tadi.

Mohd Nidzam sebelum ini dalam satu kenyataan meluahkan hasratnya untuk melepaskan tanggungjawab berat berkenaan dan sedia kembali menabur bakti sebagai Penolong Jurulatih Kedah di bawah kemudi jurulatih yang baru.

Selain itu, ditanya media sama ada nama bekas Penolong Jurulatih Kedah, Ramon Marcote dan bekas Keta Jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Mario Gomez, turut tersenarai dalam pemerhatian KFA, Aminuddin enggan mendedahkan.

"Kita ada beberapa nama yang berada dalam radar kita, sebab kita tidak mahu perkara begini didedahkan terlebih dahulu sebab mungkin ianya akan menjejaskan keputusan pada akhirnya nanti.

"Ini akan mengecewakan banyak pihak. Jadi kita mahu selepas kita tandatangan kedua belah pihak nanti, kemudian barulah kita akan umumkan," jelas beliau.

Namun begitu, Kedahnews.com menerima khabar angin yang mengatakan KFA kini turut mengintai seorang jurulatih berpengalaman dari Brazil yang terkenal dengan rentak samba itu.

Walau bagaimanapun, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri yang mesra disapa dengan panggilan "Pak Tam" itu tersenyum dan enggan mengulas mengenai desas-desus berkenaan.

Sementara itu, Aminuddin juga masih menaruh kepercayaan tinggi kepada semua pemain skuad Lang Merah pada musim yang berakhir baru-baru ini dan berjaya mengikat kontrak beberapa pemain utama pasukan bola sepak kebanggaan negeri itu.

"Kebanyakkan, beberapa pemain-pemain utama kita masih lagi akan bermain dengan pasukan kita pada musim 2018 akan datang nanti," jelasnya kepada Kedahnews.com.


Sebelum itu, wakil Ahli-Ahli Gabungan KFA yang terdiri dari 36 pertubuhan dan NGO penyokong bola sepak Kedah menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap kepimpinan Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Tegas mereka, sebarang peralihan kuasa kepimpinan KFA secara tergesa-gesa akan menjejaskan persediaan persatuan itu untuk menghadapi musim hadapan.

"Presiden KFA telah banyak menyumbang tenaga dari segi mendapatkan penajaan dari syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan korporat.

"Persediaan pasukan yang sedang giat dijalankan akan terjejas untuk musim akan datang jika ada peralihan jawatan secara tergesa-gesa.

"Prestasi skuad Liga Super Kedah telah meningkat dalam tempoh 2 tahun tampuk pentadbiran Presiden KFA dengan memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan Naib Juara Piala Malaysia musim ini," tegas kenyataan tersebut kepada media yang hadir.

Turut hadir di majlis sidang media itu adalah wakil dari kelab-kelab penyokong skuad bola sepak negeri Kedah - Kedahnews.com