Khairuddin Tuntut Hadi Jelaskan Siapa Penyangak Dalam PH


ALOR SETAR - Koordinator Deklarasi Rakyat, Khairuddin Abu Hassan menuntut penjelasan dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mencerahkan maksud penyangak dalam Pakatan Harapan.

“Cuba namakan siapakah penyangak di dalam Harapan yang beliau maksudkan itu?

“Takkan Abdul Hadi maksudkan dan tuju kepada Tun Dr Mahathir Mohamad?,” katanya.

Beliau berkata demikian memberi respon terhadap tuduhan Abdul Hadi yang mendakwa, PAS enggan bekerjasama dan mempercayai Pakatan Harapan kerana terdapat penyangak yang bersekongkol dengan punca masalah negara di dalam parti itu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi secara jelasnya tidak menyebut secara nyata siapa pemimpin yang dimaksudkan sebagai penyangak itu.

 Bekas pemimpin Umno Batu Kawan itu turut menempelak PAS dengan menyatakan bahawa di dalam PAS juga terlalu ramai penyangak.

Menurutnya lagi, pemimpin PAS termasuk Abdul Hadi sendiri merupakan sebahagian daripada 'penyangak' kerana dikatakan menyokong dan bersekongkol dengan UMNO.

“Pemimpin Harapan  bertungkus-lumus lawan rasuah dan salah guna kuasa tapi pemimpin PAS menyokongnya.

“Dulu kata UMNO itu haram, segala-galanya adalah haram daripada UMNO, tetapi kini Abdul Hadi boleh tidur sebantal dengan UMNO. Abdul Hadi jangan berdolak-dalik lagi,” dakwanya. - Kedahnews.com