Kisah Dengan Mira Filzah Terlalu Peribadi - Zizan


PELAWAK Zizan Razak masih belum bersedia untuk berkongsi status hubungannya dengan pelakon jelita Mira Filzah yang digosipkan bercinta.

Zizan berkata, perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsi kepada umum buat masa ini.

"Saya tidak boleh komen tentang itu, ia terlalu peribadi untuk dikongsi dengan media.

"Saya tidak mahu libatkan soal peribadi dengan kerjaya. Soal kerjaya saya boleh cerita tapi kalau cinta sudah terlalu banyak rasanya," ujarnya kepada mStar Online.


Zizan ditemui pada pratonton filem televisyen Baby Bro di The Garden Mall, pada Rabu.

Sementara itu, Zizan mengakui kerjayanya lebih baik tanpa sebarang kontroversi melibatkan cinta.

"Saya tidak mahu cerita cinta saya dengan siapa sahaja sekalipun kerana saya selesa sekarang.

"Saya sendiri lihat kerjaya saya menjadi lebih baik selepas tiada lagi cerita-cerita cinta," ujarnya.

Bagaimanapun, Zizan berkata, dia berjanji untuk tidak merahsiakan perkara yang baik jika mempunyai sebarang perancangan berumah tangga.

"Insya-Allah kalau ada jodoh dan sampai masanya saya akan beritahu juga. Saya tidak akan sorok perkara itu," katanya.

Bercerita tentang Baby Bro, Zizan berkata, dia seronok bergandingan dengan pelakon Shaheizy Sam dalam naskhah aksi ringan ini.

Katanya, ia juga pengalaman pertamanya berlakon dengan bayi.

"Seronok sekali-sekala dapat berlakon naskhah seperti ini. Filem ini juga khas buat peminat-peminat saya dikalangan kanak-kanak," ujarnya.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar ini boleh mula ditonton di Astro First Eksklusif bermula 30 November ini.

Sumber: Mstar Online