Klinik Bergerak MRA Mula Beroperasi Di Kedah


ALOR SETAR - Klinik bergerak Malaysia Relief Agency (MRA) mula beroperasi di pusat pemindahan banjir Kampung Sungai Derhaka dan Kampung ​Sungai Pial di Sungai Petani, Kedah.

​Dalam operasi tersebut, seramai empat doktor dan enam sukarelawan yang diketuai Dr Saifullah Halim Al Hany ​ditempatkan di klinik berkenaan khusus bagi misi bantuan perubatan MRA di utara tanah air.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata, Saifullah Halim adalah seorang pakar ortopedik yang berkhidmat di Hospital Sungai Petani, Kedah.

Menurut beliau, MRA menawarkan pemeriksaan kesihatan dan menyalurkan ubat-ubatan di pusat penempatan banjir berkenaan dengan sokongan logistik tiga buah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah van.


"Pusat pemindahan banjir itu dihuni 48 keluarga yang mana rumah mereka masih ditenggelami air pada paras paha dan lutut.

"Kebanyakan mangsa banjir yang diperiksa mengalami jangkitan saluran pernafasan atas, demam selesema dan penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan radang sendi.

"Bantuan pek kesihatan turut diagih ke beberapa pusat penempatan banjir di sekitar Sungai Petani termasuk Kampung Setiabudi, Tikam Batu dan Kampung Bujang," katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, MRA dari Pahang yang diketuai Mahadi Deraman turut berganding bahu dengan Gerakan Belia 4B bagi membantu menlaksanakan kerja-kerja mencuci beberapa rumah yang terjejas banjir di Kampung Manggis, Seberang Perai, Pulau Pinang.

"Pasukan perubatan dan sukarelawan MRA dari Kelantan dan Perak dijangka turut turun padang esok bagi meringankan kesulitan mangsa-mangsa banjir di beberapa lokasi di Kedah dan Pulau Pinang," ujarnya yang dipetik BH Online.

Pada masa sama, bagi rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan kepada Tabung Bencana Banjir MRA, boleh berbuat demikian ke akaun Public Bank Bhd 398891608 di atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi MRA di www.mra.my atau hubungi Sekretariat MRA di 03-91744672. - Kedahnews.com