ALOR SETAR - Kunjungan pemimpin Kerajaan Persekutuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Kedah baru-baru ini tidak membabitkan kos perbelanjaan yang besar pada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata kunjungan Najib sebelum ini telah dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau UMNO kerana ia membabitkan lawatan atas kapasiti sebagai Presiden UMNO.
"Perbelanjaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ke Kedah ini bergantung kepada program dan jika ia lawatan parti, maka UMNO akan belanja.
"Seperti baru-baru ini, Perdana Menteri jumpa penjawat awam di Kedah, perbelanjaannya dikeluarkan oleh PMO dan jika ia membabitkan program nasional kita akan pastikan perbelanjaan dari negeri tidak sebegitu tinggi," katanya.
Ahmad Bashah mengulas mengenai perkara tersebut sebagai menjawab soalan tambahan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) dalam mesyuarat kedua penggal kelima sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Alor Setar, hari ini.
Mohd Azam bertanyakan tentang kos perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan Kedah ketika menerima kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke negeri tersebut sedangkan kerajaan negeri harus melaksanakan perbelanjaan berhemah.
Sementara itu, turut memberi respon terhadap soalan sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.
Menurutnya, walaupun pada dasarnya kunjungan pemimpin nasional itu memerlukan sedikit perbelanjaan dari Kedah, namun ia memberi faedah yang besar dalam keprihatinan Perdana Menteri mendekati rakyat.
Selain itu, itu kunjungan dua pemimpin tertinggi negara berkenaan bukanlah dengan tangan kosong, sebaliknya ia menguntungkan negeri apabila mereka membawa projek yang memberi faedah kepada Kedah.
"Program yang kita belanja banyak membabitkan pengisian mendekati rakyat sehingga beratus ribu yang datang dan ia harus diteruskan.
"Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun datang mereka belanja sendiri dan bawa duit serta menguntungkan kita...justeru kita amat mengalu-alukan kedatangan mereka, " katanya. - Kedahnews.com