Lakonan Bukan Lagi Dunia Tam


KUALA LUMPUR: Meskipun minat terhadap bidang lakonan yang diceburinya sejak tahun 1986 masih membara, Tam Suhaimi, 38, akur cabang seni itu tidak lagi menjadi keutamaannya.

Memiliki susuk tubuh kecil, pelakon yang dikenali menerusi drama rantaian, Cili Padi pada awal 1990-an itu mengakui, sering berdepan masalah apabila watak ditawarkan tidak mencabar kemampuannya.

Justeru, kata Tam, minat itu terpaksa disalurkan menerusi kerja di balik tabir termasuk mengarah. Setakat ini, anak kelahiran ibu kota itu sudah menggarap lebih 15 drama dan telefilem.

"Tawaran berlakon masih diterima, tetapi kebanyakannya mahu saya membawa watak remaja. Jika watak yang diberikan sama seperti 20 tahun lalu, di mana lagi cabarannya? Mungkin tubuh kecil membataskan saya untuk mendapat watak matang dan menguji.

"Kali terakhir saya muncul dalam telefilem Mama Zumba, dua tahun lalu. Itupun selepas dipaksa Liyana Jasmay. Dia juga mempelawa saya untuk berlakon dalam filem sulung terbitan syarikat produksinya, Mermaid Studios berjudul Bella & Jamie," katanya.

Tam yang diperkenalkan menerusi drama Nur Islam di TV3 berkata, dia mula aktif mengarah sejak tahun 2013.

"Berada di balik tabir bukan perkara asing kerana saya sudah melakukannya sejak usia 16 tahun. Saya pernah diberi kepercayaan sebagai penolong pengarah untuk produksi terbitan Erma Fatima, Bade, Aziz M Osman dan Melissa Saila.

"Aziz juga pernah mencabar saya untuk menulis skrip, namun hanya pada tahun 2013, baru saya berani melangkah ke dunia pengarahan," katanya.

Biarpun masih baru, Tam bersyukur apabila telefilem arahannya, Menantu Material tersenarai sebagai finalis Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) dalam kategori Drama Terbaik, namun tewas kepada karya garapan Erma, Pesan Dari Tuhan.

"Secara peribadi, ia pencapaian terbesar kerana saya bersaing dengan nama berpengaruh dan jauh lebih berpengalaman. Sudah lama saya tidak menerima undangan ke acara itu, membuatkan saya tidak menyangka mampu melangkah sejauh itu.

"Bukan mudah kerana Menantu Material yang menampilkan Janna Nick dan Nazim Othman sebagai pelakon utama terpaksa bersaing dengan senarai panjang untuk memasuki Top 5. Pencalonan itu memberikan saya semangat untuk terus menghasilkan karya terbaik," katanya.

Tam sebelum ini, pernah diiktiraf sebagai Pengarah Komedi Terbaik TV menerusi telefilem Pengancam Perkahwinan pada Anugerah Lawak Warna 2014. Telefilem terbaru arahannya, Cinta Tanpa Syarat yang menemukan Elfira Loy dan Harris Baba pula sedang menanti tayangan.

Sumber: BH Online