Laluan Utama Sungai Ular, Kulim Ditutup Hingga 12 Disember


ALOR SETAR - Laluan utama Sungai Ular, Kulim menghala ke Serdang akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula 4 hingga 12 Disember ini bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jambatan sementara di situ.

Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata, laluan itu terpaksa ditutup jambatan Taman Seri Mahkota itu dilihat berisiko untuk semua kenderaan.

"Kita terpaksa tutup dalam tempoh seminggu laluan itu kepada semua pengguna, kerja-kerja membina jambatan sementara akan dilakukan.

"Mengikut laporan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Kuala Lumpur yang turun ke sini pada 20 November lalu mendapati struktur jambatan atau rasuk-rasuk jambatan mulai retak ini mungkin kerana faktor usia jambatan dan persekitaran," katanya pada sidang media.

Beliau berkata, papan tanda pemberitahuan penutupan laluan itu akan dipasang selewatnya pada 29 November ini untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan.

"Kita akan pasang beberapa papan tanda di jalan-jalan utama untuk memudahkan pengguna membuat perancangan menggunakan laluan alternatif," katanya.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya bersabar dan merancang perjalanan dengan bijak kerana jalan alternatif mungkin akan mengambil masa yang lebih lama.

"Kita tak boleh nak elak untuk tidak menutup laluan ini kerana ia berisiko, kita minta semua pengguna bersabar dan merancang perjalanan dengan bijak.

"Antara laluan yang boleh dilalui pengguna ialah Jalan Mahang untuk akses ke Serdang, Jalan Junjung untuk akses ke Bandar Baharu, atau terus melalui lebuh raya untuk akses ke Kulim," katanya. - Kedahnews.com