Lantik Mahathir Jadi Pengerusi PH Juga Punca ADUN Tanjung Bungah Keluar DAP


Kerjasama DAP - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan lantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan turut menjadi punca utama mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu  mahu me­ninggalkan DAP.

Yee Cheu menjelaskan beliau sukar menerima partinya kini bukan sahaja bekerjasama dengan Dr. Mahathir malah di­pimpin bekas Perdana Menteri berkenaan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

DAP sebelum ini melihat Dr. Mahathir sebagai 'musuh' yang mencetuskan pelbagai masalah kepada pembangkang, namun hari ini memilih untuk bekerjasama yang disifatkan atas agenda peri­badi, kata Yee Cheu yang akan tinggal DAP selepas Dewan Negeri Pulau Pinang dibubarkan pada PRU14.  
.
Sementara itu ujar beliau PPBM yang dipengerusikan Dr. Mahathir juga tidak mempunyai agenda yang jelas dan hala tujunya yang boleh dipersoalkan.

“Sebenarnya gabungan DAP, PKR dan PAN sudah cukup baik dan tidak memerlukan penglibatan PPBM,” katanya seperti dipetik portal berita di sini semalam.

Yee Cheu yang menyertai DAP pada 1999 juga mendakwa, kerjasama DAP dengan Dr. Mahathir tersebut turut tidak mendapat sokongan beberapa ahli veteran parti tersebut.

ADUN Tanjung Bungah itu adalah antara pemimpin DAP dalam kerajaan negeri Pullau Pinang yang kontroversi kerana mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Selain itu beliau juga mahu keluar daripada DAP kerana tidak sebulu lagi dengan pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang enggan mendengar suara beliau mengenai isu pembinaan rumah di lereng bukit dan isu tambak laut yang menjejaskan mata pencarian nelayan dan alam sekitar. - Kedahnews.com