Laporan Polis Ke Atas Muhammad Sanusi Hina SADA


ALOR SETAR - Lima kakitangan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) hari ini membuat laporan polis susulan kenyataan menghina dibuat bekas Ahli Lembaga Pengarahnya, Muhammad Sanusi Md Noor, yang turut mendakwa syarikat itu dikelilingi penyamun.

Laporan itu dibuat kelima-lima kakitangan itu diketuai Ketua Kerani Bahagian Akaun SADA, Ku Abd Razak Ku Saman, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya PAS negeri, melalui laman sosial Facebook.

Ku Ab Razak, berkata beliau menyedari kenyataan dikeluarkan Muhammad Sanusi itu 10.30 pagi semalam, ketika berada di tempat kerja di Menara SADA melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, pelbagai perkara mengenai SADA yang ditulis itu tidak benar termasuk penghinaan terhadap kakitangan bertujuan memburukkan imej SADA.

Malah katanya, Muhammad Sanusi sanggup menuduh pihak pengurusan tertinggi tidak telus dalam soal agihan tender projek dan menggelarkan SADA dikelilingi 'penyamun'.

"Melalui kenyataan sama, beliau (Muhammad Sanusi) mendakwa SADA melakukan pembaziran walaupun segala kemudahan yang dibelanjakan adalah untuk kemudahan rekreasi staf selepas waktu pejabat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Ku Abd Razak berkata, kenyataan itu menjatuhkan imej mereka yang berkhidmat dengan SADA, malah memberi gambaran salah kepada masyarakat di negeri.

"Kami mengesyaki beliau selaku bekas Ahli Lembaga Pengarah SADA masih mempunyai akses dengan beberapa kakitangan kanan dari segi perolehan maklumat penting syarikat yang tidak sepatutnya terlepas ke tangan orang luar.

"Justeru, laporan polis ini dibuat kerana kami bimbang kebocoran maklumat penting syarikat akan terus berlaku jika tidak dibendung," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bimbang kenyataan itu akan menimbulkan salah faham sehingga menjejaskan perjalanan syarikat jika perkara ini terus berlaku.

Sumber: BH Online