Lebih 100 Pelajar Kolej Vokasional Muar Keracunan


MUAR - Sekurang-kurangnya 100 pelajar Kolej Vokasional Muar, di sini dihantar ke Klinik Kesihatan Maharani, dipercayai selepas mengadu cirit birit dan muntah sejak semalam.

Difahamkan, kesemua pelajar tersebut menghadiri majlis makan malam tahunan yang dianjurkan di kolej berkenaan pada malam kelmarin.

Daripada jumlah itu, dua pelajar terpaksa ditahan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, walau bagaimanapun seorang daripada mereka sudah dibenarkan pulang.

Menurut ibu kepada seorang mangsa yang enggan dikenali, seorang daripada dua anaknya yang menuntut di kolej berkenaan turut dibawa ke klinik.

“Anak perempuan saya yang berusia 18 tahun sudah dibenarkan pulang ke asrama selepas menerima rawatan dan diberikan ubat oleh doktor.

“Dalam kejadian itu, adiknya yang berusia 16 tahun turut menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan tetapi dia tidak mengalami apa-apa simptom keracunan,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kanan daerah, Dr. Noorhaida Ujang ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun belum bersedia mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan pihaknya.

Sumber: Utusan Online