Lebih 60 Kucing Dimandulkan Dalam Program 'Save Our Strays'


MUAR - Lebih 60 kucing, termasuk 15 kucing terbiar dimandulkan pada program Save Our Strays anjuran Persatuan Perlindungan Haiwan Bantera Noah Johor di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah, Jalan Junid, di sini, semalam.

Pengerusinya, Mariam Yusof, berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan pemandulan haiwan berkenaan bagi mengelakkan pembiakan kucing terbiar.

"Kita tahu ramai yang sukakan kucing dan memeliharanya tetapi apabila mereka pelihara kucing itu, ia akan membiak.

"Apabila sudah terlalu banyak, ada yang membuang kucing ini menyebabkannya terbiar.

"Jadi menerusi program ini, kita mahu mendidik orang ramai supaya tahu kepentingan pemandulan terhadap kucing ini, sekali gus mengelakkan kezaliman terhadap haiwan berkenaan," katanya.

Mariam berkata, pada program itu, pihaknya menerima kira-kira 45 kucing untuk dimandulkan daripada pemiliknya, selain 15 ekor kucing terbiar yang ditangkap di sekitar Bandar Muar dan kawasan rekreasi Tanjung Emas, dekat sini.

"Bagi program ini, kita hanya mengenakan kadar bayaran terendah iaitu RM50 bagi setiap kucing yang dimandulkan menerusi teknik pembedahan, yang dikendalikan lima doktor haiwan.

"Setiap pembedahan mengambil masa antara lima minit hingga 15 minit," katanya.

Kelab Rotary juga menaja seramai 21 murid dan dua guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengikuti program itu bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan pemandulan haiwan itu, selain memupuk semangat cintakan haiwan.\\

Sumber: BH Online