PADANG TERAP - Seorang lelaki ditahan selepas kenderaan dipandunya sarat dengan muatan 180 kilogram (kg) daun ketum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Suspek berusia 48 tahun, ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di Simpang Tiga Kampung Lamdin, dekat Naka, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris, berkata anggota bertugas mengesan gerak-geri suspek mencurigakan bersama kereta jenis Suzuki Vitara dipandunya, sebelum menahannya untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan polis menemui 20 bungkusan plastik hitam di bahagian belakang kenderaan dipandu suspek yang kemudian disahkan mengandungi daun ketum.
"Kita percaya daun ketum itu untuk diseludup ke negara jiran kerana harga pasaran di sana lebih dua kali ganda berbanding di negara ini dan mampu mengaut keuntungan yang banyak.
"Harga pasaran di sini dianggarkan RM30 sekilogram, bagaimanapun mampu dijual lebih RM50 di negara jiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noh berkata, suspek yang berasal dari Alor Setar ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sumber: BH Online