Lelaki Ditahan Selepas Disyaki Milik Syabu


SARAWAK- Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di sebuah bilik hotel bajet di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan Azhar Abu Bakar berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Song menyerbu sebuah bilik di sebuah hotel bajet di sini pada pukul 2.30 pagi.

"Tangkapan dibuat selepas polis menerima maklumat dan menjalankan risikan di situ dan hasil pemeriksaan menemui satu paket kecil plastik lutsinar yang dipercayai berisi dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, ini merupakan tangkapan pertama membabitkan kes dadah di situ tahun ini.

Jelasnya, lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Song untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Pada masa sama, beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan  aktiviti jenayah supaya menghubungi terus Bahagian Siasatan Jenayah IPD Song di talian 084-777222.

Sumber: Kosmo