Liridon Akui Dirantai, Pemain JDT Agresif


PEMAIN tengah, Liridon Krasniqi mengakui tidak beraksi seperti kebiasaan apabila gagal menjana enjin pasukan Kedah hingga menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Katanya, strategi pasukan Harimau Selatan yang meletakkan hingga dua pemain untuk merantai pergerakannya dengan melakukan terjahan keras nyata mengganggu rentaknya dalam perlawanan itu.
"Mereka bermain amat agresif hingga menyukarkan saya untuk melakukan gerakan dari tengah padang.

"Sebaliknya, kami terpaksa bermain dengan hantaran jauh ke depan yang mudah dipatahkan pertahanan mereka. Itu saja cara kami untuk memecahkan benteng mereka selepas saya sering diawasi dua pemain JDT sepanjang perlawanan.

"Berdasarkan persembahan, JDT berhak di atas kemenangan ini dan kami akan datang kembali musim depan dengan semangat dan misi baharu," katanya sejurus tamat aksi, malam tadi.

Dalam aksi yang disaksikan 80,000 penyokong itu, Kedah terpaksa melupakan hajat untuk mengekalkan trofi buat musim kedua berturut-turut apabila jaringan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Gonzalo Cabrera meranapkan impian penyokong Hijau Kuning.

Segala-galanya bermula seawal minit kedua, apabila JDT dihadiahkan sepakan sudut yang diambil ketua pasukan, Safiq Rahim yang tepat menuju ke kepala Aidil untuk mengejutkan juara bertahan itu.

Liridon dan rakan sepasukannya cuba bangkit pada babak kedua, namun anak buah Ulisses Morais terus mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua pada minit ke-63, hasil percubaan menarik Cabrera untuk menewaskan Ifwat Akmal Che Kassim buat kali kedua.

"Saya minta maaf kepada semua penyokong Kedah di atas kekalahan ini. Kami sudah berusaha, tapi tuah nyata tidak menyebelahi pasukan musim ini," kata Liridon.

Sumber :BH