SIAPA tidak kenal dengan pelawak dan pengacara lelaki, Nabil Ahmad yang terkenal dengan celoteh serta lawak spontan ini kan?
Anak jati kelahiran Negeri Sembilan ini sememangnya merupakan satu nama yang cukup besar di dalam industri seni tanah air.
Sebelum ini, heboh sebentar di media sosial apabila Nabil dikecam gara-gara menjadikan penyanyi, Hazami sebagai bahan gurauan kasar ketika program Gegar Vaganza 4.
Bukan itu sahaja, malah pelawak ini juga pernah ditegur oleh Cef Selebriti, Chef Wan kerana gurauan dan usikannya dilihat agak keterlaluan sebagai pengacara.
Susulan perkara itu, Nabil telah membuat permohonan maaf dan berharap tiada lagi pihak yang terasa hati dengan gurauan serta usikan nya ketika mengacarakan program Gegar Vaganza (GV) musim terbaru, tahun ini.
Menurut Nabil, selepas menerima teguran daripada pihak Astro dia mengakui sudah berusaha sedaya upaya mengurangkan gurauan kasarnya agar tidak lagi mencetuskan sebarang isu.
“Ya, mereka ada menegur saya. Maafkan saya jika ada yang terasa hati lagi. Tetapi, saya sudah sedaya upaya mengurangkan kata-kata atau gurauan kasar yang mungkin menyakitkan hati mana-mana pihak,” katanya memetik BH Online.
Sementara itu, pengurus saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata pihak mereka sedar bahawa nama pelawak itu sering menjadi bualan setiap kali program berkenaan bersiaran.
Namun, Emarina menyifatkan gurauan Nabil sedikitpun tidak pernah mengundang rasa tidak selesa mana-mana pihak. Malah, mereka sudah dianggap sebagai sebuah family.
“Sebenarnya, baik juri mahupun peserta GV, mereka tak pernah berkecil hati dengan Nabil. Mereka sudah menjadi seperti sebuah keluarga.
“Begitupun saya faham, penonton tidak tahu dan mereka akan berasa kurang selesa dengan gurauan Nabil itu,” ujarnya.
Jelasnya lagi, walaupun pihak Astro sudah memberikan teguran serta ingatan, pastinya ada sahaja kata-kata yang terlepas tanpa sengaja.
Tambahan pula, GV4 merupakan program hiburan yang bersiaran secara langsung.
“Kita semua tahu karakter Nabil. Biasalah kalau ada terlepas sedikit kata-kata yang dirasakan kasar.
“Apabila sudah biasa bergurau, ada masanya dia terlupa dirinya sedang mengacara program secara langsung.
Bagaimanapun, Emarina menegaskan pihak mereka masih lagi mengawal situasi bagi mengelakkan ia dilihat sebagai sebuah program yang teruk.
“Apapun, saya lihat pengacaraan Nabil masih terkawal. Program ini pun berkonsep santai dan kita tidak boleh terlalu serius,” tegasnya. - Kedahnews.com