Mahathir Turut 'Salahkan' DAP Punca Pendaftaran Pakatan Harapan Terbantut


TUN Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), DAP serta mengakui kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajuinya, punca proses mendaftarkan gabungan pembangkang di bawah nama Pakatan Harapan masih terbantut.

Pengerusi PPBM itu berkata, partinya gagal menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi, manakala punca lain yang melambatkan kelulusan pendaftaran nama pakatan itu adalah disebabkan DAP.

Beliau juga turut menyalahkan ROS yang didakwanya lewat memaklumkan perkara itu kepada mereka (PPBM).

"Kita akur dengan undang-undang. Kalau mereka (ROS) beritahu awal, kami akan melakukan seperti yang diminta bagi memastikan pendaftaran Pakatan Harapan dapat disegerakan untuk membolehkan kami bersedia hadapi pilihan raya umum (PRU)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, di sini hari ini.

Pertemuan itu turut disertai Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Dr Mahathir berkata, punca proses pendaftaran nama pakatan pembangkang diperjelaskan oleh Alwi pada pertemuan berkenaan.

"Masalah membabitkan PPBM ialah gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), manakala DAP pula ialah isu berkaitan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

"Kami juga minta beliau (Alwi) menyatakan jika ada syarat lain perlu dipenuhi dan dimaklumkan setakat ini, hanya dua isu itu perlu diselesaikan," kata Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

ROS sebelum ini memberi ingatan kepada PPBM kemungkian pendataran parti itu dibatalkan dan tidak boleh menyertai PRU14 kerana ia tidak mengikut perlembagaan.

PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan selepas lebih setahun ditubuhkan masalah penstrukturan di cawangan dan bahagian parti itu. Kedahnews.com