Malaysia Berjaya Pengaruhi Kuasa Dunia Selesai Isu Rohingya


MANILA - Malaysia berjaya mempengaruhi kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan pemimpin lain pada Sidang Kemuncak ASEAN untuk menyelesai isu etnik Rohingya di wilayah Rakhine.

Untuk itu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson akan ke Myanmar esok dengan fokus mengenai keperluan menghentikan keganasan dan menstabilkan Wilayah Rakhine, yang menyaksikan 600,000 orang Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau sendiri berbual dengan Tillerson di sini  semalam, yang akan ke Yangoon hari ini bagi melihat sendiri keadaan dan berbincang dengan Kerajaan Myanmar.

"Ini bermakna AS mengambil langkah serius dengan menghantar wakil ke Myamar esok. Ini bermakna kita berjaya. 

"Saya jumpa Presiden Donald Trump di White House (tahun lalu) dan bawa isu ini. Nampaknya sekarang ini kesan dibawa Malaysia ini membawa kepada AS turut memandang berat isu ini," katanya kepada wartawan Malaysia selepas berakhir Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak berkaitan, di sini malam semalam.

Sempena sidang itu juga, Najib turut berkesempatan bersemuka dengan Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Suu Kyi antara lain memberitahu Kerajaan Myanmar sedang merundingkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Bangladesh untuk membolehkan pelarian balik ke Rakhine.

Najib berkata, dalam persidangan kali ini, banyak negara membangkitkan isu Rohingya dalam ucapan pemimpin terutama di peringkat Sidang Kemuncak Asia Timur.

Perdana Menteri berkata, dalam perjumpaan dengan Kesatuan Eropah (EU) pula beliau membangkitkan soal langkah EU mengaitkan pembangunan industri kelapa sawit di Malaysia dengan kegiatan penebangan hutan.

"Dengan ini, mereka mula melabelkan produk yang ada unsur atau bahan minyak sawit. Ini memberi kesan buruk kepada industri kelapa sawit. Ini boleh menjejaskan kepentingan 600,000 pekebun kecil di Malaysia.

"Perkara ini juga dibangkitkan oleh Presiden Indonesia yang turut membawa isu ini dan dia kata 17.5 juta pekebun kecil Indonesia akan terjejas.

"Jika isu ini tidak selesaikan, akan menjejaskan periuk nasi pekebun kecil dan saya memberitahu Presiden EU, Donald Tusk bahawa ini adalah isu yang sangat serius. Dia janji akan melihat secara peribadi isu ini. Jadi kita berjaya mengetengahkan isu ini, " katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan, Najib berkata China bersetuju untuk memulakan rundingan bagi memuktamadkan kerangka Kod Tata Laku (COC) tahun depan.

Sumber: BH Online