PETALING JAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini menafikan laporan media Indonesia yang Malaysia meluluskan pengimportan ayam atau itik dari negara itu.
Sebaliknya, perkara itu hanya disebut dalam perbincangan berkaitan isu import dan eksport produk haiwan antara jabatan itu dan Perkhidmatan Ternakan Indonesia (DGLS) di Putrajaya pada awal minggu ini.
“Semasa pertemuan itu ketua pengarah DGLS menyatakan hasrat mereka untuk mengeksport anak ayam kampung dan anak itik ke Malaysia.
“Manakala ketua pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia tidak membuat apa-apa keputusan mahupun bersetuju dengan cadangan itu,” menurut kenyataan JPV.
Rabu lalu, FMT memetik Jakarta Post melaporkan Malaysia merancang untuk mengimport ayam dan itik dari republik itu dengan perolehan bermula awal tahun depan.
Laporan itu juga berkata kerajaan bersetuju dengan tawaran tersebut dan pihak pengimport dari Malaysia akan membuat perolehan bermula suku pertama tahun depan.
Turut dilaporkan kerajaan akan menghantar wakil bagi menjalankan pemeriksaan terhadap ladang-ladang ayam dan itik di Indonesia bagi memastikan kepatuhan kepada “World Organisation for Animal Health” serta “Good Breeding Practices”.
Sumber: FMT