Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat Kepada 930 Orang

KEADAAN Kampung Biak Mukim Malau yang dinaiki air
ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Jitra dan Kota Setar terus meningkat hari ini kepada 930 orang daripada 250 keluarga berbanding 718 orang daripada 195 keluarga malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah itu meningkat berikutan penambahan bilangan mangsa yang dipindahkan di Dewan Jitra dan Kubur Siam selain sebuah pusat pemindahan baharu dibuka di Kepala Batas, di sini, tengah malam tadi.

"Sebanyak 13 buah keluarga membabitkan 48 orang dari Bukit Pinang dipindahkan di Surau Assyakirin, Kepala Batas , di sini, jam 11 malam tadi, manakala pusat pemindahan di Dewan Jitra bertambah daripada 85 orang daripada 26 keluarga kepada 202 orang daripada 54 keluarga.

"Selain itu, di Dewan Kubur Siam, Jitra, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 63 buah keluarga membabitkan 222 orang berbanding 49 keluarga membabitkan 175 orang pada jam 9 malam tadi," katanya.

JPBN berkata, antara pusat pemindahan yang masih dibuka di Jitra adalah Dewan Orang Ramai Kampung Lahar, yang menempatkan 130 orang daripada 30 keluarga, manakala 278 orang daripada 72 keluarga dipindahkan di Dewan Kampung Bata,.

Katanya, bagi daerah Kota Setar, Dewan Tokong Cina yang dibuka jam 6 petang semalam masih menempatkan 50 mangsa daripada 13 keluarga.

Tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Surau Kampung Betong dan Surau Kampung Tebing telah ditutup jam 4 petang semalam apabila seramai 396 mangsa daripada 94 keluarga dibenarkan pulang. - BH