PULAU PINANG – Mangsa banjir bukan Melayu melahirkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Surau Taman Penang Free School di sini kerana membenarkan mereka berlindung sejak kelmarin.
T. Thulasi Ammal, 45, berkata, dia bersama bapanya berusia 70 tahun dan tujuh keluarganya yang lain termasuk dua anak lelakinya berusia 21 dan 24 tahun tidak mempunyai tempat perlindungan sebaik sahaja kediaman mereka dinaiki air pada pukul 1 pagi kelmarin.
Menurutnya, jawatankuasa surau membantu keluarganya dan lebih 80 mangsa lain termasuk kaum Cina dari aspek makanan dan keperluan asas.
“Sebelum ini setiap kali banjir kami akan ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mutiara, Jalan Perak, tetapi disebabkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang berlangsung, kami ke surau dua tingkat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa banjir, Koay Sow Tin, 74, yang ditemui ketika membersihkan kawasan rumahnya berkata, dia dan isteri, Tan Ah Lek, 80, menumpang di surau berkenaan kelmarin selepas banjir semakin buruk.
“Hampir 90 peratus peralatan dan perabot rumah kami musnah dan kami juga tidak boleh tidur kerana tilam basah, jadi kami menumpang di surau itu.
“Terima kasih kepada pengurusan surau dan nampaknya selepas ini kami mungkin perlu menumpang di sana lagi kerana kemusnahan rumah kami akibat banjir terlalu teruk, mungkin ambil masa lama untuk dibersihkan,” katanya yang tinggal di kawasan itu sejak lebih 40 tahun lalu.
Dalam pada itu, Setiausaha surau berkenaan, Mohd. Aswad Abdul Karim, 37, berkata, mereka membenarkan penduduk Cina dan India datang mendapatkan perlindungan kerana memahami kepayahan yang dihadapi.
“Kita kini membersihkan bangunan Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di tingkat bawah yang turut terjejas akibat banjir bagi menempatkan lebih 20 mangsa yang masih tidak boleh pulang ke rumah mereka,” ujarnya.
Sumber: Utusan Online