Mario Gomez Jurulatih Baru Kedah?


NAIB juara Piala Malaysia, Kedah sedang menimbang untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez bagi membimbing pasukan itu musim depan.

Pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), sudah menghubungi pengendali kelahiran Argentina berusia 60 tahun itu dua hari lalu untuk menyatakan tawaran.

Mengesahkan perkembangan itu Gomez berkata, beliau berminat untuk kembali semula ke kancah bola sepak Malaysia dan sudah menyatakan persetujuan kepada KFA.

“Saya sekarang menunggu keputusan daripada Kedah, kami sudah berbincang dua hari lalu dan saya tidak ada masalah dengan tawaran kontrak itu.

“Cuma kami tidak berbincang secara terperinci tapi saya sudah bersetuju dengan gaji yang ditawarkan,” katanya yang dihubungi di Argentina, hari ini.

KFA sedang mencari calon untuk mengambil alih tugas Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang menyatakan secara terbuka meminta majikannya mencari jurulatih lebih berpengalaman bagi melatih Kedah selepas mereka tewas kepada JDT 0-2 pada final Piala Malaysia awal bulan ini.

Dan Gomez antara calon terbaik untuk melatih skuad Helang Merah berdasarkan pencapaiannya bersama JDT selama dua tahun dengan merangkul Piala AFC 2015, Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.


Dia turut menjadi calon pilihan jurulatih Harimau Malaya bagaimanapun disebabkan sedikit masalah berhubung dengan kontrak maka, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih jurulatih dari Portugal Nelo Vingada bagi mengalas tugas itu.

“Saya memang berminat membimbing Kedah kerana mereka pasukan yang memiliki sejarah tersendiri, sentiasa bersaing merebut kejuaraan dan ada perancangan,” kata Gomez yang mendedahkan tidak menerima tawaran pasukan lain selain Kedah setakat ini.

Bagaimanapun selain Gomez, bekas pengendali Kedah musim 2015, Ramon Marcote turut berada dalam senarai KFA bagi melatih pasukan juara Piala FA itu.

Sumber: MyMetro